MELAKA: Seorang pengait sawit dijatuhi hukuman penjara 50 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, kerana merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak kandung sejak tahun lalu.

Tertuduh yang berusia 60 tahun dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus empat pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa dihadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut dua pertuduhan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan, tertuduh didapati merogol anak perempuannya berusia 15 tahun lima bulan yang mana hubungan itu tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat, kebiasaan yang terpakai untuknya berkahwin.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dipenjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan bagi setiap kesalahan.

Tertuduh turut didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat bagi kesalahan Seksyen 14 (a) AKSTKK 2017, manakala Seksyen 16 (1) membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan tidak kurang dua sebatan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di kebun kelapa sawit serta di sebuah rumah dalam daerah Jasin pada 18 Oktober 2021 dan 20 Januari lalu.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Ujarnya, kejadian berkenaan turut meninggalkan kesan emosi yang mendalam terhadap mangsa sehinggakan anak sulung daripada empat beradik itu berubah menjadi pendiam dan takut untuk berjumpa orang ramai.

Mohd Sabri pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman penjara 15 tahun dan dua sebatan bagi setiap dua pertuduhan merogol serta penjara 10 tahun dan dua sebatan bagi dua kes amang seksual fizikal.

Beliau bagaimanapun memerintahkan hukuman rogol berjalan berasingan manakala hanya kes amang seksual fizikal akan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 23 Mac lalu.

Tertuduh tidak diwakili peguam.