Rogol bergilir-gilir: Polis tahan abang ipar mangsa

Sinar Harian
September 5, 2023 02:10 MYT
Suspek kini direman selama enam hari untuk siasatan di bawah Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang diburu sejak minggu lalu bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir akhirnya diberkas polis di Wangsa Maju pada Sabtu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, lelaki terbabit yang juga abang ipar kepada mangsa ditahan pada jam 11.30 malam.
"Suspek kini direman selama enam hari untuk siasatan di bawah Seksyen 375(B) Kanun Keseksaan.
"Polis kini sedang giat mengesan empat lagi suspek yang masih bebas," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita berusia 27 tahun diperkosa lima lelaki di rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur jam 3.30 pagi pada Rabu lalu.
Mangsa yang sedang tidur tersedar apabila tangan diikat oleh suspek sebelum dirogol bergilir-gilir.
Selepas memperkosa mangsa, kesemua suspek melarikan diri.
Mangsa yang juga seorang pekerja swasta kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju. - Sinar Harian
#rogol bergilir-gilir #suspek #abang ipar #Siti Kamsiah Hassan