Lima lelaki termasuk empat pelajar sekolah menengah direman bermula Isnin lalu bagi membantu siasatan berhubung kes rogol melibatkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Kelima-lima mereka yang berusia antara 16 sehingga 19 tahun diserahkan kepada pihak polis selepas ditahan bersama remaja perempuan terbabit oleh penduduk kampung, di Tikam Batu, di sini minggu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Assisten Komisioner Adzli Abu Shah, mangsa yang tinggal bersama neneknya dikatakan keluar bersama kawan lelakinya sebelum dibawa ke kawasan hutan berkenaan sekitar jam 11 malam.

Bapa remaja perempuan tersebut sebelum itu telah menelefon nenek mangsa bagi mengetahui keberadaan mangsa namun mangsa dikatakan telah keluar dari rumah tersebut.

Susulan itu, bapa mangsa bertindak untuk keluar mencari mangsa sekitar jam 11.30 malam dan mendapat tahu mengenai penahanan mangsa bersama lima lelaki di kawasan hutan berhampiran kampung mereka.

Jelas Adzli, berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah keluar dari rumah neneknya secara senyap ketika datuk dan neneknya sudah tidur.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim bagi pemeriksaan lanjut.

Tegas beliau, kesemua suspek yang telah direman dari tarikh ditahan dijangka akan diberi jaminan oleh pihak polis hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana merogol remaja bawah umur secara berkumpulan.