Rogol berkumpulan: Dua calon SPM didakwa, seorang mengaku salah

Dua daripada empat pelajar lelaki yang disyaki terlibat kes rogol berkumpulan di sebuah sekolah dua minggu lalu, didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Alor Gajah hari ini. - Foto Astro AWANI
ALOR GAJAH: Dua daripada empat pelajar lelaki yang disyaki terlibat kes rogol berkumpulan pelajar junior dan merakamkannya sebelum disebarkan di sebuah sekolah dua minggu lalu, didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Alor Gajah hari ini.
Ringkasan AI
- Dua pelajar lelaki berusia 17 tahun didakwa atas tiga pertuduhan jenayah seksual terhadap pelajar perempuan tingkatan tiga.
- Seorang tertuduh mengaku bersalah, manakala seorang lagi minta dibicarakan; mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 setiap seorang.
- Kes berlaku di dalam kelas dan dirakam, terbongkar selepas ibu mangsa menerima maklumat penyebaran video daripada guru sekolah.
Bagaimanapun hanya seorang daripada mereka membuat pengakuan bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan manakala seorang lagi mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Mengikut satu pertuduhan bersama di bawah Seksyen 375B Kanun Keseksaan, mereka didakwa melakukan rogol secara berkumpulan terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun lapan bulan yang juga pelajar tingkatan tiga.
Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun.
Bagi pertuduhan kedua, mereka masing-masing didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377B yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenalan sebatan.
Manakala bagi pertuduhan ketiga, mereka didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan memegang payudara mangsa sama mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman sama.
Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan sendiri oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Datuk Ahmad Sazali Omar memohon hukuman setimpal mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.
Semua kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah kelas tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Alor Gajah kira-kira pukul 2.50 petang, 30 September lalu.
Beliau mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap setiap tertuduh.
Tertuduh pertama yang tidak mengaku bersalah dan diwakili peguam Chua Yong Yi bagaimanapun memohon jaminan rendah memandangkan dia mengalami masalah kesihatan berikutan baharu selesai menjalani pembedahan sinus selain turut menghidap penyakit angin pasang.
Tertuduh kedua yang mengaku bersalah dan diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) turut memohon jaminan rendah dan bersedia dengan sebarang syarat ditetapkan oleh mahkamah.
Majistret Dr Shu Yee kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi pertuduhan pertama dan masing-masing RM1,500 bagi pertuduhan kedua dan ketiga menjadikan jumlah jaminan RM7,000.
Mahkamah turut menetapkan 26 November sebagai tarikh sebutan serahan dokumen bagi tertuduh pertama dan laporan akhlak bagi tertuduh kedua sebelum menjatuhkan hukuman.
Media pada 11 Oktober lalu melaporkan empat suspek berusia 17 tahun direman enam hari sehingga esok bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.
Kes melibatkan mangsa, pelajar perempuan tingkatan tiga sekolah sama berusia 15 tahun dan kejadian pada jam 2.50 petang 2 Oktober lalu turut dirakam serta dilihat dua lagi suspek berusia 17 tahun menggunakan telefon bimbit.
Kejadian bagaimanapun hanya terbongkar petang 10 Oktober lalu selepas ibu mangsa menerima maklumat mengenai penyebaran video tersebut dalam kalangan suspek daripada guru sekolah dan segera membuat laporan polis.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami