KUALA LUMPUR: Dua anggota polis yang dipercayai terlibat merogol dan menyamun penuntut kolej swasta baru-baru ini akan didakwa di Mahkamah Ampang pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka akan didakwa di bawah seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Salah seorang daripada mereka akan turut didakwa di bawah seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017, Seksyen 377C Kanun Keseksaan, Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

"Pihak polis juga menegaskan di sini bahawa tiada siapa yang akan dilindungi jika terlibat dengan jenayah. Setiap kes akan disiasat dan mereka yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, media melaporkan dua anggota polis berkenaan ditahan kerja selepas disyaki melakukan jenayah samun dan merogol penuntut kolej swasta dalam kejadian di Bukit Ampang View, 9 Januari lalu.