KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang kini kembali menjadi Menteri Kesihatan, jawatan yang dipegangnya sewaktu zaman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2018, bertekad untuk meneruskan agenda reformasi kesihatan yang pernah beliau mulakan.

Bercakap kepada pemberita selepas selesai mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia, Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini, antara program tersebut termasuk transformasi digital kesihatan dan kewangan kesihatan.

“Sementara saya sangat faham dan sedar keperluan ‘acute care’ di hospital, penjagaan pesakit ... ini juga penting untuk saya tangani, di samping kemaslahatan dan kebajikan doktor, jururawat, dan juga farmasi dan seluruh pasukan.

“Di samping itu, masalah hospital-based yang saya kena atasi dalam waktu segera, waktu menunggu serta aduan di hospital.

"Saya juga mahu pastikan apa yang pernah saya sebut, preventive wellness, emotive wellness, penyakit tidak berjangkit (NCD), pandemik, dan sebagainya,” katanya lagi.

Dr Dzulkefly turut menzahirkan penghargaan kepada Dr Zaliha Mustafa yang kini dipertanggungjawabkan untuk menerajui Kementerian Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, beliau bertekad untuk mengukuhkan kedudukan ekonomi negara seperti pernah dicapai satu ketika dahulu.

“Untuk kita kembalikan Malaysia ke tahap macam dulu, tetapi memerlukan sokongan semua orang, dan Insya-Allah kita dengan pegawai dan agensi, kita bekerjasama bina balik Malaysia.

“Saya kena faham transformation atau keperluan. Dengan sokongan semua pegawai dan agensi, kita akan bersama untuk mengetahui mana benda penting untuk didahulukan, lepas itu kita anjak ke seterusnya,” kata Amir Hamzah.

Bagi Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula, beliau melihat Kementerian Perladangan dan Komoditi merupakan satu komponen yang penting, memandangkan sumbangan agropertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar menjangkau di antara 8 dan 9 peratus.

“Kementerian ini merupakan satu komponen dalam ekonomi kita. Contohnya, kalau tengok dalam konteks agriculture dalam negara kita, sumbangannya 8-9 peratus GDP.

"Dan perladangan ini hampir lebih 50 peratus daripada keseluruhan agriculture. Jadi banyak benda saya nak tengok.

"Saya tahu kementerian ini agak mencabar buat masa ini. Sudah tentu banyak perkara kita nak tengok yang ia mungkin memerlukan fikiran di luar kotak,” katanya lagi.