Rombakan Kabinet: Pemuda UMNO WP suarakan kebimbangan pelantikan Hannah Yeoh

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi menzahirkan kebimbangan sayap itu berhubung pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Aliff Firdaus Abd Hadi, menyuarakan kebimbangan berhubung pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
Beliau menegaskan bahawa Wilayah Persekutuan merupakan jantung pentadbiran negara, dan setiap dasar yang digubal di peringkat ini memberi kesan langsung kepada landskap politik serta sosial negara.
Dalam kenyataan pada Rabu, beliau berkata masyarakat Melayu bandar kini berdepan tekanan yang semakin meningkat justeru sebarang keputusan melibatkan jawatan strategik perlu mengambil kira sensitiviti serta keseimbangan kaum.
“Pelantikan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Melayu, lebih-lebih lagi apabila jawatan penting ini didominasi oleh satu kaum.
“Antara perkara yang meresahkan ialah kemungkinan pelaksanaan agenda parti seperti pemilihan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Urban Redevelopment Authority (URA),” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, peranan Menteri Wilayah Persekutuan sebagai Ahli Lembaga Pengampunan turut menuntut keadilan mutlak dan bebas daripada sebarang kepentingan politik.
Dalam masa sama, pihaknya mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Segambut itu atas pelantikan tersebut namun turut mengingatkan bahawa amanah yang dipikul adalah amanah rakyat.
“Bertindaklah secara adil, profesional dan jangan sesekali meminggirkan kepentingan orang Melayu bandar,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan bahawa Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan akan terus memantau serta bersuara demi mempertahankan hak masyarakat Melayu di ibu negara.
“Kami sekali lagi mengucapkan tahniah dan selamat bertugas dengan harapan agar Wilayah Persekutuan terus cemerlang dan makmur pada masa akan datang,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


