Rombakan Kabinet: PM ingatkan menteri baharu tidak buat keputusan tergesa-gesa - Fahmi

Fahmi memaklumkan Perdana Menteri memberi peringatan tegas kepada semua menteri baharu supaya tidak tergesa-gesa membuat sebarang keputusan. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan tegas kepada semua menteri baharu supaya tidak tergesa-gesa membuat sebarang keputusan, khususnya yang melibatkan dasar dan hala tuju kementerian.
Ringkasan AI
- Peringatan tegas dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar menteri baharu tidak tergesa-gesa membuat keputusan berkaitan dasar dan hala tuju kementerian, serta menekankan kepentingan untuk merangka dasar dengan teliti.
- Perdana Menteri menyeru menteri baharu memberi ruang kepada pegawai dan penjawat awam kementerian untuk menyampaikan pandangan sebelum membuat keputusan, dengan tujuan membolehkan mereka memahami sistem pentadbiran kerajaan dan mekanisme Mesyuarat Jemaah Menteri terlebih dahulu.
- Rombakan Kabinet MADANI menyaksikan tujuh menteri dan lapan timbalan menteri baharu dilantik, manakala dua menteri termasuk seorang timbalan menteri telah digugurkan daripada jawatan menteri, menandakan perubahan dalam kepimpinan kerajaan.
Menurutnya, Perdana Menteri turut mengalu-alukan pelantikan semua menteri baharu dan menekankan keperluan mereka memberi ruang kepada pegawai serta penjawat awam kementerian untuk mengemukakan pandangan dan penilaian sebelum sesuatu keputusan dibuat.
"Pendekatan ini penting kerana terdapat menteri baharu yang masih dalam proses memahami sistem pentadbiran kerajaan serta mekanisme Mesyuarat Jemaah Menteri.
"Berikan masa kepada pegawai dan penjawat awam untuk menyampaikan pandangan dulu. Perdana Menteri juga memberi ruang semua semua menteri baharu untuk menelaah beberapa perkara sebelum keputusan-keputusan dasar dibuat.
"Jadi ini penting kerana ada dalam kalangan menteri-menteri yang baharu, yang belum lagi benar-benar mengenali, memahami sistem di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri," katanya yang juga Menteri Komunikasi pada sidang media mingguan Mesyuarat Pasca Kabinet, di sini pada Khamis.
Pada Rabu, tujuh menteri termasuk dua yang baharu dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara, di sini, susulan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI.
Pada masa sama, lapan timbalan menteri yang baharu dilantik turut mengangkat sumpah jawatan.
Dalam rombakan terbaharu itu, dua menteri dan seorang timbalan menteri digugurkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


