Rompak kedai serbaneka guna parang, pisau

Astro Awani
September 21, 2022 22:45 MYT
Mohd Rosdi (foto) berkata, mangsa yang berseorangan di kedai ketika itu didatangi dua lelaki tidak dikenali yang bertindak mengambil wang tunai serta pelbagai jenis rokok. -Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Dua lelaki bersenjatakan parang dan pisau bertindak merompak wang tunai serta sejumlah rokok di sebuah kedai serbaneka di Cabang Tiga Pengkalan Chepa di sini, pada jam 5 pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, mangsa yang berseorangan di kedai ketika itu didatangi dua lelaki tidak dikenali yang bertindak mengambil wang tunai serta pelbagai jenis rokok.
“Menurut mangsa, semasa kejadian dia berada di kaunter kedai dan tiada pelanggan.
“Suspek memegang parang dan pisau pemotong daging serta memakai pelitup muka,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelasnya suspek menaiki kereta jenis Perodua Axia berwarna merah dan usaha mengesannya kini giat dijalankan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata.
“Jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. -Sinar Harian
#Cabang Tiga Pengkalan Chepa #Mohd Rosdi Daud #pisau pemotong daging #Kedai Serbaneka