NATIONAL
Rompakan dalam lif: Tawaran RM10,000 untuk pemberi maklumat
Video dari CCTV polis menunjukkan suspek memasuki lif berkenaan bersama-sama mangsa sebelum bertindak memukul dan menendang wanita berkenaan. - Foto PDRM
Pejabat Ahli Parlimen Kepong menawarkan saguhati bernilai RM10,000 kepada sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menangkap perompak yang menyerang wanita dalam lif di stesen MRT Taman Mutiara baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Lim Lip Eng berkata beliau membuat tawaran itu kerana mahu penjenayah berkenaan ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.
"Yang paling saya takuti ialah, jika dia tidak ditangkap dalam masa terdekat, ia mungkin akan mempengaruhi penjahat lain supaya melakukan jenayah dengan cara yang sama, iaitu dalam lif atau mana-mana tempat yang terlindung.
"Malah, mereka mungkin akan turut mensasarkan golongan lelaki pula atau bergerak secara dalam kumpulan," katanya lagi.
Tambahnya, berita itu juga boleh menjejaskan kedatangan pelancong asing ke negara ini.
Dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diedarkan polis pada Sabtu, seorang wanita dilihat menjadi mangsa rompak dalam lif di stesen MRT Taman Mutiara, Cheras, 14 Februari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.45 pagi ketika wanita berusia 48 tahun itu berada di dalam lif berkenaan bersama suspek.
Mangsa mengalami kecederaan dan wang tunai serta kad ATMnya turut dirompak.
Lim meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya datang ke pejabatnya di Kepong atau menghantar e-mel ke parlimenkepong@gmail.com