MALAYSIA

Rompakan gelung keluli tahan karat: 7 diberkas

Astro Awani 06/12/2012 | 13:40 MYT
Enam lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia yang disyaki terlibat dalam kes samun sembilan gelung keluli tahan karat bernilai RM500,000 di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Klang, berjaya diberkas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, kesemua suspek berumur lingkungan 20 hingga 38 tahun ditahan di beberapa lokasi - Petaling Jaya, Bukit Raja dan Bandar Baru Klang.

“Tangkapan pertama dilakukan pada pada 22 November lepas jam 1.40 pagi di sebuah bengkel kenderaan di Petaling Jaya,” kata Adnan.

Tambah beliau, empat suspek warga tempatan dimana seorang daripada mereka merupakan pemilik bengkel dan tiga yang lain merupakan pemandu lori telah ditahan.

“Di bengkel tersebut, kami menemui kesemua sembilan gelung keluli tahan karat yang dirompak sebelum ini ,” tambah beliau

Menurut beliau, jam 5 petang hari yang sama, seorang lelaki warga Indonesia ditahan di Kawasan Perindustrian Bukit Raja bagi membantu siasatan, manakala kira-kira jam 5 petang 30 November lalu, polis menahan dua lagi suspek di hadapan Maybank di Bandar Baru Klang.

Adnan berkata: “Dalam kejadian pada pukul 11 malam 20 November lepas, tiga lelaki bertopeng bersenjatakan parang mengikat kaki dan tangan dua pengawal keselamatan di kilang itu sebelum melarikan gelung keluli seberat 191,217 metrik tan itu.”

Dua suspek dihadapkan di mahkamah pada 4 Disember lalu manakala yang lain dibebaskan dengan jaminan polis.

Walaubagaimanapun, menurut Adnan, pihak polis masih memburu saki baki suspek dalam kes ini.
#Klang #Rompakan sembilan gelung keluli tahan karat #Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah