Polis tidak menolak kemungkinan terdapatnya penglibatan kru kapal dalam kejadian rompakan minyak diesel berjumlah tiga juta liter bernilai RM8 juta dari sebuah kapal tangki di Pulau Ketam, semalam.

Timbalan Komandan Operasi/Risik Polis Marin Bukit Aman, ACP Abdul Rahim Abdullah berkata kemungkinan ini timbul apabila dalam kejadian tersebut perompak turut melarikan tiga kru kapal tangki Naniwa Maru iaitu juragan kapal, ketua jurutera dan ketua kru kapal yang sangat penting dalam pengendalian dan selok-belok kapal tersebut.

"Tiga individu itu penting kerana mereka mempunyai pengetahuan organisasi kapal ini, barangan yang dibawa dan laluan pelayaran kapal tersebut," katanya dalam satu sidang media yang diadakan diatas geladak kapal Polis Marin di perairan Pulau Ketam.

Kru kapal yang dilarikan oleh perompak tersebut dikenali sebagai Farizal yang merupakan juragan kapal, Mohamad Alfan yang bertugas sebagai ketua jurutera dan Ariyandi Alhafsyah yang merupakan ketua krew kapal.

Kesemua mereka merupakan warganegara Indonesia.

Kapal tangki tersebut membawa muatan minyak diesel berjumlah tiga juta liter bersamaan RM 8 juta dan memulakan pelayarannya dari sebuah pelabuhan di Singapura pada Isnin.

“Ketika kapal tersebut berada tidak jauh dari perairan Pelabuhan Klang berhmapiran Pulau Ketam pada jam 1 pagi hari Selasa, lapan lelaki bersenjata yang menaiki sebuah bot kecil telah menyusup naik ke kapal tangki yang mempunyai 18 kru kapal itu dan telah mengarah dan mengumpulkan kru kapal tersebut di sebuah bilik dalam kapal tersebut,” kata Abdul Rahim.

Beliau menambah, dalam masa yang sama terdapat dua buah kapal tangki telah merapati kapal tersebut dan perompak tersebut kemudiannya telah menyedut minyak diesel di dalam kapal itu.

“Suspek mengambil masa lapan jam untuk membuat pemunggahan diesel dari kapal tangki itu ke kedua-dua kapal tangki yang telah merapati kapal tersebut dan sejumlah tiga juta liter isipadu minyak diesel bernilai RM 8 juta berjaya diisi dan dilarikan,”.

Selain itu juga, perompak turut melarikan barangan milik kru kapal seperti telefon bimbit, digital kamera, jam tangan dan wang tunai.

Polis percaya suspek melarikan diri ke negara jiran dan mereka kini bekerjasama dengan pihak berkuasa di Singapura dan Indonesia dalam mengumpul maklumat untuk siasatan mereka.

Kapal buatan Jepun ini direka di Hiroshima pada 1992 sebelum dijual kepada sebuah syarikat perkapalan di Singapura.

Namun, ianya masih menggunakan nama lamanya iaitu ‘Naniwa Maru’.

Kru kapal tersebut terdiri daripada tujuh warga Indonesia, 10 warga Thailand dan seorang warga India yang berumur dari 28 hingga 55 tahun.

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dengan senjata dan Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960.