Rompakan MT Joaquim: Maritim Malaysia, Indonesia, Singapura jejak dua kapal

Bernama
Ogos 13, 2015 10:12 MYT
AHMAD PUZI: Yakin kerjasama maritim Indonesia, Singapura dan Malaysia membolehkan kedua-dua kapal itu dijejaki dalam masa terdekat.
Pihak berkuasa maritim Malaysia, Indonesia dan Singapura sedang menjejaki dua buah kapal yang disyaki terbabit dalam rompakan kapal tangki MT Joaquim, yang membawa muatan 3,500 tan minyak mentah marin bernilai RM2.8 juta, Sabtu lepas.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata ia susulan penahanan sebuah kapal tangki yang membawa muatan minyak berhampiran perairan Dumai di Indonesia oleh pihak berkuasa maritim negara itu pada Isnin lepas.
Berikutan itu, APMM menggerakkan dua pesawat ke perairan Malaysia di Selat Melaka untuk menjejaki kedua-dua kapal berkenaan.
"Setakat ini, ia tiada dalam perairan Malaysia," katanya dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat kedua penyelarasan operasi penguatkuasaan maritim bersama APMM, Badan Keamanan Laut Indonesia (Bakamla) dan Singapore Police Coast Guard (SPCG) di sini, pada Khamis.
Ahmad Puzi yakin kerjasama maritim Indonesia, Singapura dan Malaysia membolehkan kedua-dua kapal itu dijejaki dalam masa terdekat.
Kapal Tangki MT Joaquim yang didaftarkan di Singapura, hilang pada malam Sabtu ketika dalam pelayaran ke Langkawi dari Tanjung Pinang, Indonesia.
Ia ditemui semula di kedudukan 14 batu nautika Timur, Pulau Rupat, Indonesia pada pagi Ahad tanpa muatan kargonya.
Ahmad Puzi berkata pihak berkuasa maritim Indonesia sedang menjalankan siasatan termasuk menganalisis kandungan minyak yang dibawa kapal itu, yang ditahan pada Isnin lepas, bagi menentukan sama ada ia sepadan dengan minyak mentah yang dibawa MT Joaquim.
"Ini (proses menganalisis kandungan minyak) mungkin mengambil masa empat hingga lima hari," katanya.
Mengenai mesyuarat kedua penyelarasan itu, Ahmad Puzi berkata ia merupakan platform terbaik bagi ketiga-tiga agensi penguatkuasaan maritim berkenaan saling bertukar pendapat dan pendekatan berkesan bagi memastikan perairan persempadanan laluan pelayaran antarabangsa sentiasa aman dan selamat kepada komuniti maritim.
Beliau berkata ia memberi penekanan kepada kepentingan perundangan dan penguatkuasaan dalam melaksanakan tugas di kawasan perairan negara dan di kawasan perairan antarabangsa yang melibatkan persempadanan maritim ketiga-tiga negara.
Mesyuarat itu turut merangka kerjasama ketiga-tiga agensi itu bagi memperkemas penyelarasan operasi penguatkuasaan khususnya bagi isu-isu jenayah rentas sempadan.
"Perlanunan, rompakan di laut, pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, penyeludupan barangan terkawal merupakan jenayah yang menjadi fokus mesyuarat dalam merangka tindakan proaktif yang boleh diambil bagi membendung dan membanteras jenayah di perairan daripada terus berlaku," katanya.
Menurutnya ketiga-tiga negara perlu sentiasa mengkaji langkah-langkah baharu dan memperkukuh kerjasama serantau menerusi pelbagai bidang perkongsian termasuk maklumat, perisikan, siasatan, penggunaan aset laut dan udara.
Ahmad Puzi berkata kejadian rompakan MT Orkim Harmony di Laut China Selatan pada 11 Jun dan MT Joaquim di Selat Melaka pada Sabtu lepas adalah dua kajian kes yang dibincangkan secara mendalam.
Beberapa kes lain turut dibincangkan bagi mengambil iktibar dan menghasilkan tindakan proaktif penguatkuasaan maritim di kalangan negara terbabit, katanya.
Pada mesyuarat itu, APMM diketuai Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim Datuk Mohd Amdan Kurish, SPCG diketuai oleh Sac Hsu Sin Yun manakala Bakamla diketuai Laksamana Madya Dr Desi Albert Mamahit.
#Ahmad Puzi Ab Kahar #APMM #Indonesia #Joaquim #Malaysia #maritim #Singapura