Rompin hampiri kualiti udara sangat tidak sihat

Bernama
September 10, 2019 15:52 MYT
Bacaan IPU beberapa kawasan di seluruh Malaysia. - Foto: apims.doe.gov.my
Kualiti udara di Rompin, Pahang menghampiri kategori sangat tidak sihat dengan catatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 197 setakat 6 petang tadi.
Kualiti udara tidak sihat yang berpunca daripada fenomena jerebu yang melanda sekarang turut dikesan di beberapa kawasan di Sarawak, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar, bacaan IPU tidak sihat yang direkodkan di Sarawak merangkumi kawasan Sri Aman (173), Kuching (145) dan Samarahan (122).
Kualiti udara serupa dikesan di Kuala Lumpur iaitu Batu Muda (161) dan Cheras (150), serta Putrajaya (140).
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).
Turut berada dalam kategori kualiti udara tidak sihat ialah lima kawasan di Selangor iaitu Petaling Jaya (141), Shah Alam (131), Klang (113), Banting (120) dan Johan Setia, Klang (153).
Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Selangor memaklumkan tiada sekolah ditutup buat masa ini walaupun negeri berkenaan dilanda jerebu dengan bacaan IPU tidak sihat dicatat sejak dua hari lepas.
Pengarah Pendidikan negeri, Dr Mahanom Mat Sam berkata sebarang penutupan sekolah serta-merta hanya akan dibuat sekiranya bacaan IPU melebihi 200 seperti mana yang diarahkan Kementerian Pendidikan menerusi surat siaran yang dikeluarkan pada 15 Jan lepas.
Bagaimanapun, katanya, semua sekolah harus menghentikan sebarang aktiviti luar sekiranya IPU melebih 100 seperti mana yang turut dinyatakan dalam surat siaran berkenaan.
Sementara itu, kualiti udara di Nilai, Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan termasuk dalam kategori tidak sihat, masing-masing dengan bacaan IPU 147, 119 dan 108, manakala keadaan sama direkodkan di Alor Gajah, Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka di Melaka, masing-masing dengan bacaan 105, 108 dan 101.
Penduduk di Tangkak, Johor turut berdepan dengan kualiti udara tidak sihat dengan bacaan IPU 121.
-- BERNAMA
#Indeks Pencemaran Udara #IPU #jerebu #Kuala Lumpur #Rompin #Sarawak #Selangor