PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) diarahkan untuk menyediakan laporan mengenai status ketidakpatuhan pertubuhan termasuk terlibat dalam aktiviti haram, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata ia susulan keputusan Kabinet hari ini yang mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN), untuk menyediakan laporan awal mengenai ketidakpatuhan pertubuhan rentetan insiden sebuah pertubuhan didakwa menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.

"Jadi kita akan sediakan dan bentang pada Jemaah Menteri pada suku pertama tahun hadapan seperti yang diarahkan," katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan replika cek Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti (GPPK) 2023 di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah RoS Datuk Mohd Zulfikar Ahmad.

Saifuddin Nasution berkata RoS juga diarahkan untuk melaksanakan pemantauan secara rawak terhadap pertubuhan berdaftar bermula tahun hadapan.

"Pemantauan berterusan kena buat, jadi kaedahnya ialah secara rawak untuk memastikan kepatuhan pertubuhan dengan Akta Pertubuhan 1966 dan langkah berjaga-jaga, supaya jangan ada pertubuhan berdaftar itu dijadikan platform untuk aktiviti bercanggah undang-undang, seumpama cuci wang atau biayai kegiatan mengancam keselamatan," katanya.

Saifuddin Nasution berkata sebanyak 54,642 pertubuhan yang dibatalkan sejak 1966.

Beliau berkata RoS telah melaksanakan proses tapisan ketat terhadap permohonan pendaftaran sejak tiga tahun lepas, dalam memastikan pertubuhan berdaftar menjalankan kegiatan memanfaatkan ahli dan menunjukkan pematuhan tinggi kepada undang-undang.

Sementara itu, Mohd Zulfikar berkata RoS telah melakukan pemeriksaan terhadap 1,118 pertubuhan berdaftar sehingga 10 Dis 2023, yang merangkumi empat kategori iaitu keagamaan, rekreasi, kebajikan, dan sosial.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 26 peratus pertubuhan didapati melanggar undang-undang tubuh atau perlembagaan pertubuhan," katanya.

Mohd Zulfikar berkata GPPK merupakan satu bentuk inisiatif pemberian geran yang diluluskan dalam Belanjawan 2023, dengan peruntukan berjumlah RM20 juta bagi diberikan kepada pertubuhan berdaftar kategori sosial dan sub-kategori penduduk.

-- BERNAMA