TELUPID: Seorang wanita yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran hari ini mempersembahkan karya lukisannya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, pada Majlis Santapan Bersama Masyarakat Telupid sempena Kembara Kenali Borneo.

Lukisan itu merupakan potret perkahwinan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah, yang dilukis semula oleh Rosemary Yvonne Marcus, 42, sempena lawatan pasangan diraja itu ke Telupid.

Menurut adiknya Mary Anne, 39, Seri Paduka juga berkenan membeli tiga lagi lukisan kakaknya, iaitu potret Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Charles III dari United Kingdom ketika bermain polo dalam dua variasi iaitu berwarna dan hitam putih, selain potret Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah semasa muda.

"Satu lagi ialah lukisan Seri Paduka berdua berlatar belakangkan Air Terjun Imbak, yang terletak di kawasan Hutan Simpan Imbak Kanyon.

"Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong tidak berkesempatan melawat Air Terjun Imbak, jadi kakak saya melukiskan gambar ini dan Seri Paduka berminat untuk membeli lukisan itu apabila siap nanti," kata Mary Anne kepada Bernama.

Mary Anne yang berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong kerana sudi membeli lukisan kakaknya berkata hasil jualan itu, akan disalur untuk kutipan dana bagi mewujudkan sebuah galeri seni buat Rosemary Yvonne di Telupid.

Beliau berkata kakaknya dilahirkan normal, namun hilang pendengaran selepas terkena air panas seluruh badan ketika berusia setahun setengah.

Mary Anne memberitahu kakaknya berkecimpung dalam bidang lukisan sejak 10 tahun lalu dan pencapaian terbesarnya ialah mendapat tempat kelima pada Abilympics Antarabangsa Ke-10, iaitu pertandingan kemahiran teknikal dan vokasional peringkat antarabangsa untuk OKU, di Perancis pada Mac lepas.

Keberangkatan Seri Paduka berdua pada Majlis Santapan Bersama Rakyat di Institut Perhutanan Sabah Telupid, disambut meriah dengan kehadiran ribuan rakyat yang menunggu pasangan diraja itu sejak tengah hari.

Pada majlis santapan itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dipersembahkan Tarian Magalai Labuk, yang merupakan warisan seni budaya suku kaum Dusun Labuk, iaitu satu daripada 13 suku di Telupid yang sering kali dipersembahkan sempena majlis rasmi, keramaian serta perkahwinan.

Seri Paduka berdua turut dipersembahkan tayangan video Air Terjun Tawai, Telupid iaitu lokasi yang berpotensi besar untuk dibangunkan sebagai ekopelancongan, kerana terletak di pertengahan Sabah dan di laluan jalan raya Sandakan ke Kota Kinabalu.

Pada majlis itu juga, Al-Sultan Abdullah berkenan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada tiga pemenang pertandingan memancing, sebelum Seri Paduka dan Tunku Azizah berangkat meninggalkan majlis untuk ke Ranau.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah, kini berangkat melakukan perjalanan sejauh 2,154 kilometer Kembara Kenali Borneo dari 3 hingga 13 Sept bermula di Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

-- BERNAMA