MALAYSIA
Rosmah gagal singkir hakim kes projek solar

Rosmah memakai baju kurung berwarna hijau, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Rabu untuk menyingkirkan Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan. - Foto Sinar Harian
PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu untuk menyingkirkan Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan.
Ringkasan AI
- Mahkamah Rayuan menolak rayuan Rosmah Mansor untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini dan mengekalkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta atas kes rasuah projek solar hibrid.
- Panel hakim putuskan rayuan tiada merit, walaupun pembelaan berhujah isu kebocoran penghakiman dan kemuka hujahan setebal 700 muka surat.
- Rosmah didakwa meminta dan menerima rasuah RM194 juta daripada bekas pengarah Jepak Holdings bagi projek RM1.25 bilion untuk sekolah luar bandar di Sarawak.
“Susulan itu, mahkamah menolak rayuan Rosmah selaku perayu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 September 2022,” katanya yang bersidang bersama hakim-hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Semasa hujahan, Datuk Jagjit Singh berkata, anak guamnya meminta hakim berkenaan menarik diri daripada mendengar atau membuat keputusan berhubung kesnya yang berkaitan dengan projek hibrid solar berkenaan.
Beliau berkata, Hakim, Mohamed Zaini seharusnya menarik diri daripada selepas dikatakan telah mengarahkan Unit Penyelidikan mahkamah menyediakan draf penghakiman sebelum menyampaikan keputusan.
Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan berkenaan dan mengenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.
Bagaimanapun hukuman alan berjalan serentak, bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.
Dia juga didenda RM970 juta, dan jika gagal membayar denda itu, Rosmah boleh dihukum penjara selama 30 tahun.
Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan Rosmah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Sebelum ini, peguam yang mewakili Rosmah memohon agar mahkamah terlebih dahulu mendengar rayuan anak guamnya berhubung keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menolak permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menggugurkan dirinya daripada mendengar serta mengadili kes solar tersebut.
Permohonan untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini dibuat dua hari sebelum keputusan diumumkan, atas alasan penghakiman kes itu didakwa bocor.
Peguam juga memberitahu bahawa pasukan pembelaan telah memfailkan hujahan setebal 700 muka surat untuk rayuan itu.
Dalam prosiding berkenaan, selain Jagjit Singh, Rosmah selaku pemohon turut diwakili barisan peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader, Azrul Zulkifli Stork dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin sementara pendakwaan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai sebagai responden. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami