Rosman Mohamed dilantik sebagai CEO Bank Rakyat

Farhana Joni
Januari 28, 2020 10:06 MYT
Rosman Mohamed dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat berkuat kuasa 1 Februari ini.
Datuk Rosman Mohamed dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat berkuat kuasa 1 Februari ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, pelantikan itu dibuat selepas Rosman menunjukan prestasi yang baik ketika memangku jawatan pemangku Pengarah Urusan sejak 1 Ogos tahun lalu.
Kata beliau, pelantikan itu telah dimuktamadkan melalui proses penentusahan 'layak dan sesuai' oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
"Rosman menunjukkan komitmen dan konsistensi yang cemerlang dalam menerajui pelaksanaan Bank Rakyat 2025 (BR25).
"Di samping itu, beliau turut melaksanakan inisiatif memperkasakan sistem perbankan teras Bank Rakyat yang dijadual akan beroperasi pada Jun tahun ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Redzuan, Rosman telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat sejak 1 April tahun lalu turut melakukan anjakan meningkatkan sektor keusahawanan dan koperasi seiring dengan aspirasi kementerian.
Kata beliau, antaranya peningkatan pembiayaan, pelaksanaan pusat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan pelbagai bentuk khidmat nasihat dan konsultasi kepada syarikat serta koperasi.
Rosman merupakan pemegang Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Saint Louis, Missouri, Amerika Syarikat (AS) dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Urbana, Ohio, AS.
Beliau pernah berkhidmat di Bank Rakyat sebagai Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat dari 1 Oktober 2012 hingga 31 Disember 2013; pegawai kredit dan Ketua Latihan dan Pembangunan Kerjaya Maybank dari 1987 sehingga 1993; Ketua Pegawai Eksekutif Interim di Cabot, Hong Kong dari 2006 sehingga 2007 dan Pengarah Urusan, Pusat Kecemerlangan Syarikat Abdul Latif Jameel (ALJ), Arab Saudi selama tujuh tahun.
#Bank Negara Malaysia #Bank Rakyat #Datuk Rosman Mohamed #Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof