MALAYSIA
Roti canai dan integriti: Pesanan ‘Ata’ melekat di fikiran Ayob Khan

Gambar kenangan Ayob Khan (kiri) di zaman kanak-kanak bersama Allahyarham bapanya, Mydin Pitchay. Gambar kecil pula Ayob Khan menunjukkan kemahiran beliau menebar roti canai. - Gambar Facebook Ayob Khan Mydin Pitchay
KUALA LUMPUR: Di sebalik ketegasan seorang Timbalan Ketua Polis Negara, tersimpan kisah penuh nilai kehidupan yang membentuk keperibadian beliau hari ini.
Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dalam satu hantaran penuh emosi di media sosial berkongsi memori dan penghormatan tinggi beliau buat Allahyarham bapanya, Mydin Pitchay Abu Bakar atau disapa sebagai “Ata” oleh anak-anaknya.
Allahyarham Mydin Pitchay, seperti yang ditulis Ayob Khan meninggal dunia pada 2009 ketika berusia 86 tahun.
Hantaran Ayob Khan di akaun Facebooknya bukan semata-mata mengenai memori sebuah kedai kopi di Tanah Merah, Pendang, Kedah.
Kata Ayob Khan, seawal usianya 10 tahun, beliau sudah didedahkan dengan tanggungjawab membantu di kedai kopi milik ayahnya.
Tugasnya, membersihkan meja, mencuci pinggan, malah melayan pelanggan.
Setahun kemudian, Ayob Khan mula belajar menebar roti canai.
“Rutin saya… sekolah, tebar roti canai, sekolah, tebar roti canai,” tulis beliau.
Kemahiran itu bukan sekadar mengisi zaman remajanya, malah membawa beliau bekerja di beberapa kedai mamak sekitar Kedah, termasuk di Tanah Merah, Simpang Empat Kangkong dan Alor Setar.
Di sebalik susah payah berniaga, ada ketikanya dipandang rendah kerana “menumpang” di kedai orang lain, Ata, tegas Ayob Khan, mengajar anak-anaknya erti maruah dan keberanian.
Ayob Khan mengimbas bagaimana arwah bapanya berdepan pelanggan mabuk yang enggan membayar makanan, siap mengugut dengan pisau.
Kata Ayob Khan, Ata tidak gentar, tetap mempertahankan haknya sehingga lelaki itu akhirnya membayar.
Namun paling diingati, kata Ayob, adalah pesanan Ata: jangan ambil hak orang lain.
“Ketika itu istilah rasuah jarang-jarang kita dengar. Tetapi Ata sudah tanam dalam jiwa saya bahawa mengambil hak orang adalah dosa besar,” jelas beliau.
Bagi Ayob, prinsip itulah yang menjadi tiang kepada pendiriannya hari ini – menolak rasuah, tidak bersekongkol dengan sindiket dan tidak membiarkan wang mengaburi amanah.
Gerun dengan budaya rasuah, Timbalan Ketua Polis Negara itu membidas dengan sikap segelintir pihak yang pandai beretorik, bermuka-muka, malah menggunakan agama untuk menutup aktiviti rasuah mereka.
“Mereka sudah pun kaya raya, mewah dan berharta… tetapi masih memungut rasuah seolah-olah tidak cukup-cukup,” katanya sambil memetik pesanan pendakwah terkenal, Ustaz Datuk Shamsuri Ahmad: ‘Dunia ini adalah duit… semua orang kalah dengan duit’.
Ayob Khan menegaskan, meskipun Islam agama syumul yang lengkap dengan panduan, namun, apa yang menyedihkan masih ada antara umat Islam yang kecundang dengan amanah dan memilih jalan rasuah berbanding integriti.
• Sehingga pukul 8.40 pagi, hantaran kisah ATA… Roti Canai, Rasuah & Integiriti di halaman Facebook Ayob Khan menerima lebih 22,000 tanda ‘like’ selain dikongsi oleh lebih 1,800 pengikut beliau.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami