KUALA LUMPUR : Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) akan memastikan kenaikan harga roti canai di restoran mamak dan bistro adalah paling minimum dan tidak membebankan pengguna.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan menjelaskan, beliau telah menasihatkan lebih 4,500 ahlinya agar tidak meletakkan harga luar biasa ke atas makanan kegemaran rakyat Malaysia itu.

"Pada dasarnya, PRESMA tidak menyokong kenaikan (harga roti canai) yang luar biasa. Kalau berlaku kenaikan itu biarlah seminimum mungkin yang tidak membebankan pengguna. Itu memang polisi kami. 

"Dalam perniagaan ini yang paling penting bukan keuntungan semata-mata yang kita cari tetapi kita hendakkan juga keberkatan. Itu yang kami tekankan kepada ahli-ahli PRESMA. Kesemua lebih 4,500 ahli ada 10,000 rangkaian restoran di bawah PRESMA dan mereka semua akur dengan apa saya pohon, " katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai harga roti canai di restoran yang dikatakan naik sehingga RM2 sekeping berbanding bawah harga RM1.50 sebelum ini. 

Jelasnya lagi, ketika ini, hasil pemantauannya, sekeping roti canai dikenakan harga antara seringgit hingga maksimum RM1.70, bergantung kepada lokasi. 
 
"Roti canai ini bergantung kepada tempat juga. Kalau hari ini saya di Sabak Bernam boleh jual RM1, tetapi kalau tengok lokasi macam Taman Tun sebab sewa kedai mahal mungkin RM30,000 ke RM40,000, harganya mungkin sampai harga maksimum RM1.50 ke RM1.70. Saya rasa kenaikan bahan mentah, seperti tepung, planta, minyak main peranan utama (dalam kenaikan harga)," ujarnya. 

Sementara itu, PRESMA mengharapkan Kerajaan agar mencari mekanisme berkesan dalam membantu pemain industri menangani isu kenaikan harga bahan mentah yang seterusnya memberi kesan kepada harga makanan.

Ia termasuk mempertimbang pemberian subsidi kepada bahan mentah terutama tepung gandum.

"Saya juga sebagai Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia(PPIM), saya perlu main peranan, apabila harga makanan naik tak masuk akal, kita perlu bijak sebagai pengguna, kalau rasa tak masuk akal kita ada hak boikot. 

"Saya boleh cakap dua perkara, iaitu pengguna perlu bijak dan kami peniaga dan restoran akan pastikan  kenaikan harga adalah seminima mungkin.

"Kerajaan juga perlu buat sesuatu kepada pemain industri, dengan duduk bersama bincang apa masalah, dan kerajaan perlu kaji apa kerajaan boleh bantu.

"Kalau minyak RON 95 dan 97 kerajaan bagi subsidi apakah perlu subsidi kepada tepung? Mungkin boleh difikirkan kerajaan juga," tambahnya.