KUALA LUMPUR: Pengeluar produk roti Gardenia di Semenanjung Malaysia, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd dilapor akan menaikkan harga produknya bermula 1 September ini.

Dalam satu surat yang tular, sebanyak 53 jenis produk berdepan kenaikan harga membabitkan harga peruncit dan harga pengguna.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia Bekeries (KL), Koh Chin Huat berkata, kenaikan tersebut tidak dapat dielakkan susulan kenaikan bahan mentah yang meningkat berterusan.

"Kami telah sedaya upaya mengekalkan harga jualan sebelum ini, tetapi disebabkan harga bahan mentah seperti tepung gandum dan lemak sayuran yang meningkat secara berterusan, menyebabkan perubahan harga perlu dilaksanakan.

"Kami akan sentiasa komited untuk mengekalkan kualiti produk di tahap yang optimum untuk kepuasan semua pelanggan dan pengguna kami," katanya menerusi satu surat tersebut.


Perubahan itu antaranya membabitkan harga roti Gardenia Original Classic iaitu RM2.55 (harga peruncit), manakala harga pengguna RM3.00.

Turut mengalami kenaikan ialah Gardenia Delicia Salted Caramel Spread (375 gram) iaitu RM13.66 (harga peruncit) kepada RM17.10 bagi harga pengguna.

Foto website Gardenia

Sementara itu, semakan pada laman sesawang syarikat itu mendapati harga barangan bagi beberapa produk masih lagi kekal.

Ia antara melibatkan Original Classic (400 gram) pada harga RM2.80; dan Original Classic Jumbo (600 gram) pada harga RM4.00.

Harga pengguna baharu bagi produk tersebut dijangka mengalami kenaikan 20 sen pada 1 September ini.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi daripada pihak Gardenia KL berhubung kenaikan harga tersebut.

Pada November tahun lalu, Gardenia KL turut menaikkan harga produknya bermula 1 Disember.