PADANG BESAR: Keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia mengharungi cabaran dan dugaan COVID-19 yang melanda negara sekali imbas, persis hamparan sehelai bendera Malaysia yang menjadi simbol perpaduan masyarakat pelbagai agama dan bangsa.

Mengambil inisiatif turut sama meraikan Hari Malaysia yang bertemakan Malaysia Prihatin, seorang peniaga gerai makan di Padang Besar, Perlis menghasilkan roti jala Jalur Gemilang bagi menzahirkan rasa kesyukuran dengan semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan masyarakat.

Bagi Nellywaty Nooraini Azmi, 41, idea ini tercetus apabila seorang rakannya yang berada di Kuala Lumpur memintanya membuat roti jala untuk dijamu kepada pelanggan pelbagai kaum.

Menggunakan pengalaman selama lebih 15 tahun berniaga roti jala, dia berjaya menghasilkan roti jala bersaiz 13 x 18 inci dihiasi warna bendera Malaysia dan tertulis Malaysia Prihatin.

"Kawan saya di Kuala Lumpur minta saya buat roti jala ini dan sedekah kepada orang di sini sempena Hari Malaysia," katanya.

Setelah siap, roti jala ini dihidangkan kepada pelanggannya yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India.

Bagi Muniandi a/l Subramaniam, 45, dia teruja untuk menikmati roti jala ini kerana berwarna-warni dan dihidangkan dengan kuah durian yang manis.

Katanya, pandemik COVID-19 ini sebenarnya mengeratkan lagi semangat ikatan kaum di negeri Indera Kayangan ini apabila mereka seperti sebuah keluarga yang besar.

"Kawan-kawan saya yang terdiri daripada kaum Cina, India, Siam dan Melayu semuanya berkumpul di sini bagi menjamu selera bersama.

"Walaupun dalam keadaan pandemik COVID-19 ini, perpaduan antara kaum di negara ini jelas kelihatan dan ia sebenarnya menyatu padukan lagi semua kaum di Malaysia ketika ini," katanya.

Semangat yang sama turut dirasai Chong Keat Yin, 40, yang merasakan COVID-19 ini mengeratkan lagi semangat kejiranan biarpun berlainan bangsa.

"Sejak COVID-19 ini berlaku, saya lihat semangat kejiranan terutamanya antara kaum itu semakin kuat.

"Sebagai contoh salah satu keluarga di sini disahkan positif COVID-19, jiran-jiran mereka walaupun berbeza kaum dan agama, tetap menolong hantar makanan atau apa sahaja yang diperlukan bagi membantu keluarga tersebut," katanya.