MALAYSIA

RPN 2026-2035 'reset' pendidikan negara, perkukuh laluan TVET

Bernama 02/02/2026 | 13:30 MYT
Di bawah PPPM 2013-2025, enrolmen TVET telah meningkat daripada 4.6 peratus pada 2013 kepada 11.14 peratus pada 2024. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 dijangka melonjakkan penyertaan murid dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus mengubah persepsi laluan itu sebagai 'pilihan kedua'.


Ringkasan AI
  • Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 akan meningkatkan penyertaan murid dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), mengubah persepsi laluan itu sebagai pilihan kedua.
  • Mekanisme utama RPN termasuk pengenalan Matriks Pembelajaran Malaysia di peringkat tahun empat dan tingkatan tiga untuk mengenal pasti potensi serta bakat murid lebih awal.
  • Sasaran RPN 2026-2035 termasuk memperkuat pendidikan TVET dengan fokus pembangunan kompetensi, karakter, perpaduan, dan potensi murid sebagai warga global, serta meningkatkan enrolmen TVET bagi mencapai sasaran 20 peratus menjelang 2035.


Pensyarah Kanan Jabatan TVET Termaju, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Muhamad Afzamiman Aripin berkata RPN secara nyata memperkasakan peranan TVET sebagai teras pendidikan negara dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.

"Mekanisme utama bagi mencapai hasrat itu adalah melalui pengenalan Matriks Pembelajaran Malaysia pada peringkat tahun empat dan tingkatan tiga yang membolehkan potensi serta bakat murid dikenal pasti lebih awal," katanya kepada Bernama.

Sehubungan dengan itu, Muhamad Afzamiman berkata pemilihan ke program Kolej Vokasional, Pendidikan Vokasional Menengah Atas (PVMA) dan Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) tidak lagi berlaku secara kebetulan, sebaliknya melalui satu proses yang lebih sistematik dan berasaskan potensi sebenar murid.

Selain itu, beliau berkata kemahiran yang ingin dibangunkan merangkumi aspek praktikal dan teknikal bersifat futuristik, yang menuntut pelajar berfikir pada aras tertinggi bagi mencipta penyelesaian masalah secara kreatif.

"Kemahiran yang dimaksudkan bukan sekadar kemahiran asas, tetapi merangkumi kemahiran praktikal dan teknikal yang bersifat masa hadapan. Ia menuntut murid mencapai aras pemikiran tertinggi seperti dalam Taksonomi Bloom, iaitu kebolehan mencipta penyelesaian kepada masalah kompleks secara kreatif dan berkesan.

"Inilah roh sebenar pendidikan TVET yang berorientasikan aplikasi, inovasi dan kebolehkerjaan," katanya sambil menekankan kejayaan pelaksanaan RPN turut bergantung kepada penyelesaian isu kritikal seperti jurang ekonomi, beban tugas guru, kesiapsiagaan fasiliti serta kesihatan mental pendidik dan murid.

Mengenai pencapaian lepas, Muhamad Afzamiman berkata di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, enrolmen TVET telah meningkat daripada 4.6 peratus pada 2013 kepada 11.14 peratus pada 2024, namun angka itu masih perlu dipertingkatkan bagi mencapai sasaran 20 peratus, khususnya melalui RPN.

Beliau berkata RPN 2026-2035 yang menjadi manifestasi untuk melakukan 'reset' terhadap masa hadapan Malaysia akan diperkukuh melalui Kurikulum Persekolahan 2027 dengan fokus kepada pembangunan kompetensi, karakter, perpaduan dan potensi murid sebagai warga global.

Mengenai sasaran menjelang 2035, beliau berkata negara perlu bersedia melalui tiga fasa utama merangkumi perubahan naratif masyarakat terhadap prestij TVET, penambahbaikan akses sokongan serta pemerkasaan kebolehpasaran graduan menerusi sinergi erat bersama industri.

"Dengan pengintegrasian TVET dalam arus perdana melalui Matriks Pembelajaran dan pengenalan awal peringkat sekolah rendah, Malaysia sedang membina generasi tangkas, berkemahiran dan berani menyahut cabaran global yang semakin mencabar," katanya.

RPN 2026-2035 dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 Jan lepas di Putrajaya dan ia diterajui bersama oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 serta Kementerian Pendidikan menerusi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035.

-- BERNAMA


#TVET #Rancangan Pendidikan Negara #kesihatan mental #cabaran global