[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

RTG lulus sokongan tambahan buat atlet elit

Bernama 24/09/2025 | 00:10 MYT
Hannah bercakap pada sidang media pemberian tajaan khas kepada pemenang pingat paralimpik di Menara KBS, Putrajaya, semalam. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kem badminton negara terus mempamerkan perkembangan konsisten tahun ini dengan Jawatankuasa Road To Gold (RTG) meneruskan sokongan melalui pembiayaan tambahan merangkumi sains sukan serta peralatan pemulihan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan memaklumkan, mesyuarat ketiga RTG 2025 yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meluluskan beberapa bentuk sokongan lain termasuk rawatan kiropraktor untuk Pearly Tan dan rawatan prapemulihan bagi Toh Ee Wei.

Setakat ini, beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik melonjak ke ranking kedua dunia selepas mara lima kali ke final musim ini dengan tiga gelaran juara dan dua naib johan - rekod terbaik dalam karier mereka.

"Beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula meraih kejuaraan di Masters Indonesia dan Masters Malaysia selain menembusi ranking tertinggi No.6 dunia. Bagi acara beregu wanita, Pearly-M. Thinaah mencipta sejarah sebagai gandingan negara pertama meraih pingat perak Kejohanan Dunia di Paris, di samping menduduki ranking No.2 dunia selepas lima kali beraksi di pentas final.

"Beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut melakar kejayaan besar apabila muncul juara dunia pertama Malaysia dalam acara itu dan kini menghuni ranking No.3 dunia," menurut kenyataan itu.

Bagi skuad profesional badminton, RTG bekerjasama dengan pasukan bagi mengenal pasti pangkalan latihan baharu selain meluluskan permohonan tambahan rakan sepelatih untuk gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang kini berada di ranking No.3 dunia.

Beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai pula mengekalkan kedudukan dalam kelompok 10 terbaik dunia di ranking kelapan.

Dalam sukan skuasy, RTG meluluskan pembiayaan latihan S. Sivasangari di Prague, Republik Czech, yang membuahkan hasil apabila beliau muncul naib juara Grasshopper Cup dan mara ke separuh akhir Kejohanan Klasik London, sekali gus kini berada di ranking No.8 dunia.

Rakan sepasukan Ng Eain Yow turut mengukuhkan kedudukan dengan muncul naib juara Squash On Fire dan kini menghuni ranking No.12 dunia.

Sementara itu, pelumba berbasikal trek negara, Shah Firdaus Sahrom, masih menjalani pemulihan lutut kanan di Institut Sukan Negara (ISN) dengan sokongan berterusan RTG, manakala rakan sepasukan, Nurul Izzah Izzati, pula menyerlah dengan dua emas, satu perak dan satu gangsa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) selain memecah rekod Asia acara 1 Kilometer (km) Ujian Masa yang meletakkannya di ranking ke-10 dunia.

Dalam acara angkat berat, Mohd Aniq Kasdan tetap menghadiahkan pingat perak kategori 60 kilogram (kg) di Kejohanan Komanwel meskipun sedang menjalani pemulihan kecederaan bahu, dengan RTG meluluskan rawatan berterusan di ISN serta penempatan Pegawai Suaian Fizikal khusus.

Bagi sukan memanah, Nurul Azreena Mohamad Fazil yang masih menjalani fisioterapi bahu terus mengekalkan kedudukan dalam ranking dunia No.12.

Mesyuarat kali ini turut dihadiri Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Ketua Setiausaha KBS, Datuk Ts. Dr. K. Nagulendran; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Jefri Ngadirin; dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr. P. Vellapandian.

Bekas jaguh badminton, Datuk Seri Lee Chong Wei dan legenda hoki Datuk Mirnawan Nawawi turut hadir, manakala legenda skuasy negara Datuk Nicol David mengikuti mesyuarat secara maya.

KBS menjelaskan, mesyuarat itu membentangkan laporan terkini Persatuan Sukan Kebangsaan mengenai status atlet, perkembangan perkhidmatan sokongan RTG, serta semakan terhadap permohonan tambahan atlet dan persatuan masing-masing.

-- BERNAMA



#RTG #atlet elit #Hannah Yeoh #KBS