Skip to main content

Malaysia

RTPMM perkukuh kepakaran guru, bina generasi celik matematik - KPM

Aszunarni (gambar) berkata penyelarasan penempatan guru opsyen Matematik turut dirancang bagi memastikan kepakaran mereka dimanfaatkan secara optimum selaras dengan enam teras RTPMM. --fotoBERNAMA
Aszunarni (gambar) berkata penyelarasan penempatan guru opsyen Matematik turut dirancang bagi memastikan kepakaran mereka dimanfaatkan secara optimum selaras dengan enam teras RTPMM. --fotoBERNAMA

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) merancang memperkukuh kompetensi guru Matematik menerusi latihan bersasar dan penyelarasan penempatan guru opsyen bagi meningkatkan penguasaan serta keupayaan murid mengaplikasikan subjek itu dalam kehidupan harian.

Timbalan Pengarah Sektor Sains dan Matematik, Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM Dr Aszunarni Ayob berkata Standard Kompetensi Guru Matematik yang dirancang di bawah Rancangan Transformasi Pendidikan Matematik Malaysia (RTPMM) 2026-2035 akan membolehkan latihan dirangka berdasarkan keperluan serta tahap kompetensi setiap guru.

“Melalui piawaian ini, kita akan tahu keupayaan kompetensi guru-guru kita dan daripada situ, kita boleh buat latihan bersasar kepada mereka.

“Kita tidak akan buat satu latihan yang sama untuk semua guru,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk RTPMM 2026-2035: Melahirkan Generasi Celik Matematik malam Rabu.

Beliau berkata guru yang mempunyai kepakaran dalam bidang itu akan dilantik sebagai Jauhari Matematik bagi membimbing rakan sejawat manakala beberapa Institut Pendidikan Guru (IPG) akan dipilih sebagai pusat pendidikan Matematik yang memberi tumpuan kepada latihan keguruan dalam bidang berkenaan.

Aszunarni berkata penyelarasan penempatan guru opsyen Matematik turut dirancang bagi memastikan kepakaran mereka dimanfaatkan secara optimum selaras dengan enam teras RTPMM yang meliputi tadbir urus, kurikulum dan pentaksiran, kompetensi guru, kokurikulum dan sokongan, prasarana serta jaringan kolaboratif.

Beliau berkata pemahaman konsep Matematik juga akan diperkukuh menerusi Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) melalui pendekatan konkrit, bergambar dan abstrak sementara pendekatan Bilik Darjah Fikrah menggalakkan murid menjelaskan proses penyelesaian serta memberikan justifikasi terhadap jawapan mereka.

Pengiraan dengan dan tanpa kalkulator turut diberi penekanan di sekolah menengah bagi mengimbangi kemahiran aritmetik mental termasuk mencongak dan menganggar, dengan keupayaan menyelesaikan masalah yang lebih kompleks.

“Dalam RTPMM ini, satu daripadanya adalah kita nak membangunkan satu hab maya bersepadu untuk bahan-bahan sumber pengajaran ini bagi memudahkan akses kepada bahan-bahan tersebut oleh guru dan juga murid.

“Kita sebenarnya ada banyak bahan-bahan dan kita ingin sepadukan sumber-sumber tersebut dalam satu platform yang senang diakses oleh murid dan guru-guru,” katanya.

Aszunarni berkata jaringan pendidikan Matematik juga akan diperkukuh dengan penglibatan universiti, agensi, industri dan komuniti bagi berkongsi kepakaran serta menunjukkan aplikasi Matematik dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata usaha memupuk minat dan keyakinan murid turut memerlukan sokongan pentadbir sekolah, kaunselor, guru mata pelajaran lain dan ibu bapa termasuk menerapkan unsur matematik dalam aktiviti kokurikulum serta kehidupan seharian seperti mengurus wang belanja dan menyukat bahan masakan.

“Sebenarnya, antara cara untuk menarik minat mereka terhadap Matematik adalah memberi kefahaman bahawa matematik itu ada di sekeliling mereka... itu yang paling penting.

“Kita nak mereka faham bahawa matematik ni ada di mana-mana... barulah mereka dapat menghargai dan tidak rasa takut kepada Matematik itu,” katanya.

Beliau berkata RTPMM akan dilaksanakan secara berfasa bermula dengan pengukuhan asas dan kesiapsiagaan diikuti peningkatan serta pengembangan sebelum beralih kepada pemantapan dan penilaian impak bagi mencapai matlamat melahirkan generasi celik matematik.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement