KUALA LUMPUR: Lebih kurang seminggu yang lalu kecoh di media sosial kononnya seorang bekas pelajar Universiti Malaya (UM) yang mendakwa teraniaya oleh pihak pengurusan dan pensyarah universiti terbabit sehingga gagal mendapatkan Ijazah Kedoktoran (PhD).

Kedua-dua pihak bagaimanapun sudah menyerahkan kes terbabit kepada pihak polis untuk melakukan siasatan terperinci bagi mencari kebenaran atas dakwaan berkenaan.

Astro AWANI berpeluang mendekati pihak pengurusan UM baru-baru ini, tidak sekadar memfokuskan kes berkenaan semata-mata, tetapi lebih menjurus untuk menyingkap perkembangan semasa universiti tertua Tanah Melayu itu dalam mendepani setiap cabaran.

Berbual bersama Naib Canselornya Profesor Datuk Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, nyata banyak sebenarnya pembaharuan yang telah dilakukan terhadap universiti tersebut.

Tidak hanya dalam perspektif akademik semata-mata tetapi meliputi aspek keseluruhan termasuk ruang dan peluang yang dibuka seluas-luasnya kepada pelajar baik dari segi pembelajaran sehinggalah dari sudut sosial dan aduan.

Kebajikan pelajar

Menurutnya UM sangat terbuka dan tidak pernah mengabaikan kebajikan pelajarnya, malah pelbagai instrumen dan mekanisme diwujudkan dalam memastikan keadilan untuk semua pihak termasuk kakitangannya.

"Di UM ini, tiap-tiap tahun kita melahirkan sekitar 460 hingga 500 pelajar PhD. Hampir 90 peratus pelajar yang mendaftar PhD ini biasanya akan menjadi graduan dalam tempoh empat atau lima tahun. Ada dalam sekitar 4 hingga 5 peratus itu yang gagal dengan pelbagai sebab atau tidak mencapai tahap (yang ditetapkan), dan sebagainya.

"Selepas seseorang pelajar itu telah menghasilkan tesisnya, ia akan dihantar ke profesor di luar negara yang tersohor dalam bidang tersebut. Kita tak hantar ke dalam negeri sebenarnya, ada dua orang profesor ditambah dengan pemeriksa dalaman, jadi ada tiga orang yang akan membaca tesis tersebut.

"Maka, hendak melepasi (kelayakan) PhD di UM ini barangkali agak mencabar, namun mereka yang berjaya melepasinya, kualiti (PhD) yang diperolehi agak terjamin," katanya dalam temubual eksklusif pada Isnin.

Mengikut data yang dikongsikan, untuk tahun 2019 sahaja lebih 477 graduan bertaraf Ijazah Kedoktoran (PhD) berjaya dilahirkan oleh UM manakala pada 2020 sejumlah 467 graduan serta 454 graduan pula berjaya menamatkan Ijazah Kedoktoran mereka pada 2021.

Bermakna 1,398 graduan bertaraf PhD telah berjaya menamatkan pengajian mereka dengan cemerlang dan memenuhi standard kualiti dan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak UM dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Salah laku

UM juga jelasnya tidak berkompromi sekiranya ada salah laku di peringkat tenaga pengajarnya malah pelbagai pendekatan yang dilihat berkesan, komprehensif serta terbuka diberikan terhadap setiap pihak bagi membolehkan saluran aduan dibuat dengan bebas tanpa sekatan sebelum ia dinilai semula menerusi siasatan dalaman.

"Baru-baru ini kita melantik Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar di setiap fakulti khusus untuk melihat isu-isu (mengenai pelajar dan pensyarah). Kalau dulu dipegang oleh Timbalan Dekan Akademik tetapi kadang-kadang kekangan masa menyebabkan mereka tak sempat nak tengok urusan pelajar yang macam-macam.

"Itu suatu perubahan besar yang dibuat oleh Universiti Malaya. Kita juga ada saluran yang pelbagai sampai ke atas iaitu Unit Integriti yang melaporkan terus kepada Lembaga Pengarah Universiti. Maka, pelajar-pelajar yang ada aduan tentang salah laku termasuk plagiat dan sebagainya akan pergi kepada Unit Integriti," katanya lagi.

Pelajar- pelajar di UM sebenarnya banyak menikmati bantuan hasil ketelusan yang diberikan

Tiada pilih kasih

Menurutnya lagi tiada pilih kasih terhadap kesalahan yang dilakukan mana-mana pihak dan rekod simpanan pihak UM sendiri telah membuktikan bahawa pihak pengurusan telahpun mengambil tindakan hingga ke tahap drastik ke atas pihak yang telah didapati melakukan kesalahan.

UM jelasnya seringkali cuba merapatkan jurang perbezaan dalam membentuk persetujuan bersama dalam semua aspek.

Penetapan nilai teras yang diterjemahkan melalui POISE iaitu 'Passion, Oneness, Integrity, Sincerity dan Empathy' diterapkan dalam jiwa dan budaya UM, supaya semua fungsi organisasi di bawah UM ditunjangi kepentingan pelanggan UM dan bukannya kepentingan sendiri.

POISE memaparkan perkongsian nilai antara warganya agar usaha membina kredibiliti dalam melahirkan pemimpin yang berkarisma.

"Di UM ini yang menariknya saya kira ialah kita mula melibatkan pelajar dalam beberapa urusan penting pentadbiran. Sebagai contohnya Senat, pelajar dijemput masuk dalam mesyuarat. Bayangkan pelajar boleh bersuara dalam hal-hal berkaitan akademik dalam mesyuarat senat.

"Yang keduanya, Jawatankuasa Yuran Universiti pelajar adalah ahli kepada jawatankuasa tersebut. Saya difahamkan inilah satu-satunya universiti yang melantik pelajar menjadi ahli Jawatankuasa Yuran Universiti. Maknanya bila kita nak tetapkan yuran, kita bawa pelajar iaitu dua orang wakil (untuk beri) apa pandangan dia, bagaimana, boleh atau tidak.. supaya pelajar memberikan input," jelasnya lagi.

Mendekati pelajar

Malah, Profesor Datuk Dr. Mohd Hamdi sendiri turut mengambil pendekatan secara peribadi untuk mendekati pelajar-pelajar di UM secara santai untuk mendengar sendiri respons dan juga keluhan bagi tujuan penambahbaikan yang diperlukan sekalipun UM sendiri memiliki kekangan kewangan tertentu dalam melaksanakan sesuatu perancangan yang difikirkan perlu ketika ini.

Justeru, asas kepada segala aspek yang ada adalah memastikan segala program pembelajaran yang diterima oleh pelajar di UM ketika ini sentiasa relevan dan kompetitif seiring peredaran masa dan keperluan, malah keterbukaan antara pelajar dan pihak pengurusan sentiasa berada pada landasan yang betul dan terbaik.

Semua itu demi memastikan institusi pengajian tinggi awam itu sentiasa berada pada tahap kualiti yang dituntut oleh pasaran industri ketika ini.

Walaupun mungkin ada rasa terkilan dengan sikap segelintir bekas pelajarnya yang dilihat terbit daripada pemikiran dan emosi yang bersifat peribadi, namun ia tidak akan menjadi sebab untuk UM mengabaikan masa depan ribuan pelajar yang sedang mengikuti pengajian di 20 fakulti ketika ini.