Ruang pejabat Wisma Tani terbakar

Afiezy Azaman
September 8, 2019 22:05 MYT
Ruang pejabat Wisma Tani mengalami kebakaran pada petang Ahad. -Gambar JBPM
Ruang pejabat bangunan Wisma Tani di Jalan Sultan Salahuddin, Kampung Padang Merbok, ibu negara mengalami kebakaran pada petang Ahad.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, pihaknya menerima panggilan pada 6.28 petang.
“Seramai 55 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul, Titiwangsa, Hang Tuah, Jalan Tun Razak dan Cheras digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya bomba di lokasi, kebakaran melibatkan ruang pejabat di tingkat empat bangunan berkeluasan 2,400 kaki persegi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa ruang pejabat itu terbakar 100 peratus namun api berjaya dikawal pada 7.34 petang dan dipadamkan sepenuhnya pada 11.11 malam.
Menurutnya, kebakaran bagaimanapun tidak membabitkan mangsa dan Unit Forensik sedang mengenal pasti punca kejadian.
#API #Balai Bomba dan Penyelamat #Bangunan Wisma Tani #Jalan Sultan Salahuddin #Kampung Padang Merbok #Kuala Lumpur #Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba Penyelamat #Unit Forensik