Ruang udara diceroboh: Sarawak sokong tindakan Kerajaan Persekutuan

Munirah Mudzamli
Jun 3, 2021 09:06 MYT
Salah sebuah daripada 16 pesawat milik Tentera Udara milik China (PLAAF) yang memasuki Zon Maritim Malaysia pada Isnin. - Gambar TUDM
KUCHING: Sarawak memandang berat insiden pencerobohan 16 pesawat tentera udara milik Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF),di kawasan Beting Patinggi Ali pada 31 Mei lalu.
Pejabat Ketua Menteri Sarawak dalam kenyataan rasminya hari ini menyokong tindakan serius yang diambil Kerajaan Persekutuan termasuk memanggil Duta Besar China ke Malaysia bagi memberi penjelasan mengenai insiden berkenaan bagi melindungi kedaulatan negara.
“Adalah wajar bahawa tindakan serius diambil oleh Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kejadian tersebut tidak berulang pada masa akan datang untuk melindungi dan menegakkan kedaulatan, martabat dan integriti negara,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu turut menegaskan adalah penting untuk Kerajaan Persekutuan mengambil tindakan serius berhubung isu berkenaan bagi memastikan ia tidak berulang bagi melindungi dan mempertahankan kedaulatan, maruah serta integriti negara.
Kedutaan Besar China di Malaysia mendakwa tindakan 16 buah pesawat tentera republik itu memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada Isnin sebagai latihan penerbangan biasa.
Jurucakap kedutan itu berkata, kesemua 16 pesawat Tentera Udara China (PLAAF) tersebut tidak langsung menyasarkan mana-mana negara.
BACA: Masuki ruang udara Zon Maritim Malaysia: 'Hanya latihan penerbangan biasa' - Kedutaan Besar China
[TERKINI] China pertahan tindakan 16 pesawat tenteranya
Terdahulu, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, pesawat mencurigakan itu telah memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada pagi Isnin.
Ia dikesan oleh radar pertahanan udara TUDM di Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.
BACA: TUDM sahkan 16 pesawat tentera China memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia
#ceroboh #China #Sarawak #Malaysia #pesawat #Ketua Menteri