Skip to main content

Malaysia

Ruang udara ditutup sempena sambutan Hari Kebangsaan, penerbangan Malaysia Airlines dijadual semula

A-330 Neo, Malaysia Airlines
Syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan bahawa penutupan ruang udara dalam Kawasan Kawalan Terminal Kuala Lumpur itu adalah untuk memudah cara latihan dan acara Lintas Hormat Hari Kebangsaan 2026. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines Bhd akan menjadualkan semula penerbangan terpilih yang tiba dan berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan penutupan sementara ruang udara sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan bahawa penutupan ruang udara dalam Kawasan Kawalan Terminal Kuala Lumpur itu adalah untuk memudah cara latihan dan acara Lintas Hormat Hari Kebangsaan 2026.

Keadaan itu akan menyebabkan perlepasan dan pendaratan pesawat di KLIA dihentikan sementara pada waktu tertentu.

“Penumpang yang terjejas akan dimaklumkan menerusi saluran komunikasi yang telah didaftarkan oleh mereka dan digalakkan menyemak status penerbangan terkini mereka di laman web atau aplikasi mudah alih Malaysia Airlines sebelum pergi ke lapangan terbang.

“Menjelang cuti sekolah akan datang dan tempoh perjalanan pada waktu puncak, dari 26 Ogos hingga 6 September, 2026, penumpang yang berlepas dari KLIA Terminal 1 dinasihatkan supaya tiba sekurang-kurangnya empat jam sebelum waktu pelepasan yang ditetapkan bagi memberi masa mencukupi untuk prosedur di lapangan terbang,” menurutnya kenyataan dikeluarkan Malaysia Airlines dalam satu hantaran di X.

Menurut Malaysia Airlines, penutupan sementara ruang udara itu dijadualkan dari jam 11 pagi hingga tengah hari pada 26 hingga 28 Ogos, dan dari pukul 8.45 pagi hingga 9.45 pagi pada 29 dan 31 Ogos, penutupan ruang udara tersebut seiring dengan ketetapan masa untuk latihan, latihan penuh, serta Lintas Hormat Hari Kebangsaan.

Selain itu, Malaysia Airlines juga mengingatkan penumpang bahawa kaunter daftar masuk ditutup 60 minit sebelum waktu pelepasan ditetapkan bagi penerbangan domestik dan antarabangsa, manakala pintu pelepasan ditutup 30 minit sebelum pesawat berlepas.

Penumpang harus bersedia untuk masa menunggu lebih lama di lokasi pemeriksaan utama, termasuk kaunter daftar masuk, imigresen dan pelepasan keselamatan, dijangka melebihi 45 minit disebabkan jangkaan jumlah pelancong yang tinggi, menurut kenyataan itu.

Syarikat penerbangan berkenaan menasihatkan penumpang supaya memastikan mereka mempunyai semua dokumen perjalanan diperlukan serta mengesahkan kemasukan dan pelepasan melalui saluran rasmi sebelum memulakan perjalanan.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement