MALAYSIA

Rumah aktivis kebajikan dipecah masuk, mesin oksigen antara dilarikan

Aida Aziz 07/11/2025 | 23:30 MYT
Noorashikin (tengah) menunjukkan keadaan dalam rumah yang berselerak dan rosak teruk akibat dipecah masuk individu tidak bertanggungjawab, selain kabel dan wayar elektrik turut dicuri. - Gambar Astro AWANI
IPOH: Separuh daripada usianya banyak dihabiskan untuk membantu ramai insan yang tidak bernasib baik juga tidak berkemampuan untuk mendapatkan kehidupan lebih baik.

Kini, giliran Wan Noorashikin Noran, 50, pula diuji dengan musibah apabila rumahnya di Kampung Kuang Tengah, Chemor yang menjadi tempat berteduh dipecah masuk individu tidak bertanggungjawab baru-baru ini.

Tambah memilukan apabila kebanyakan barang berharga seperti mesin oksigen yang disimpan untuk dipinjamkan kepada pesakit terlantar secara percuma turut dilarikan dengan kerugian mencecah lebih RM10,000.

Noorashikin yang mesra disapa Mama Puteri ketika ditemui berkata, kehidupannya sebagai individu yang sering membantu orang memerlukan hanyalah sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Saya tidak pasti bila kejadian pecah masuk ini berlaku sebab saya ke Mekah atas tugasan berkhidmat dalam tempoh tiga bulan di Rumah Ngaji di sana.

"Saya balik baru-baru ini dan dapati rumah ini dipecah masuk, habis semua barang dipunggah dan berselerak. Wayar dan kabel juga dicabut dan dicuri sehingga tiada bekalan api.

"Banyak barangan kebajikan yang digunakan untuk bantu individu memerlukan iaitu dua unit mesin oksigen dicuri, satu lagi mesin yang rosak telah diambil bahagian besi di dalamnya.

"Selain itu, pendingin hawa dan barangan lain turut dibawa lari," katanya yang juga Pengerusi Pertubuhan Puteri Kebajikan Negeri Perak.

Mengakui hidupnya bukanlah mewah seperti tanggapan kebanyakan pihak berikutan penglibatannya dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bahkan, Noorashikin mengakui, kehidupannya sekadar cukup makan sahaja memandangkan beliau tiada pendapatan tetap.

"Ramai ingat bila saya terlibat dalam bidang NGO dan bantu orang susah, maka hidup saya mewah tetapi sebaliknya saya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Sumbangan dan bantuan yang diberikan kepada orang susah merupakan hasil derma daripada kawan-kawan dan 'circle' kami sahaja, jarang kami minta dana di media sosial melainkan sangat sangat perlu.

"Jika ada yang mesej minta bantuan, saya akan maklumkan kepada rakan terdekat untuk infak apa yang diperlukan termasuk bantuan pinjaman katil, kerusi roda dan mesin oksigen," katanya.

Sementara itu, rakan NGO yang juga pesara kerajaan, Martina Jasmine Mustafa, 57, berharap supaya ada pihak yang prihatin dapat membantu Noorashikin.

"Sebelum ini dia banyak bantu orang walaupun banyak dugaan cabaran termasuk dihina. Saya sudah ikut dia buat kerja kebajikan bertahun lamanya, dia bukan orang senang. Walau tiada duit pun tetap ikhtiar tolong orang yang memerlukan.

"Hidup dia banyak untuk bantu orang sahaja. Rumah pun sudah rosak teruk, anak-anaknya pun baru hendak mula hidup dan tiada pendapatan tinggi. Bantulah dia apa yang patut," katanya.

Sebelum ini, Noorashikin sering mengutarakan isu kebajikan seperti dilaporkan Astro AWANI di Perak termasuk kisah yang menggemparkan negara iaitu 'Derita dua beranak hidup dalam sampah', Nasib Ahmad Kusaimi akhirnya dapat perhatian' dan banyak lagi.


#rumah aktivis kebajikan #Wan Noorashikin Noran #Mama Puteri #rumah Mama Puteri #mesin oksigen dilarikan