DREBAR
Rumah baharu untuk Porsche di Malaysia dirasmikan

Para pemilik Porsche sekarang mempunyai destinasi baharu untuk menyelenggara kenderaan mereka dengan bermulanya operasi Porsche Centre Sungai Besi (PCSB) yang dirasmikan baru-baru ini. Mengikut Sime Darby Auto Performance (SDAP), pelaburan yang telah dibuat untuk memajukan kemudahan ini adalah lebih dari RM16 juta. Lokasinya di tepi Jalan Sungai Besi menjadikan ia strategik; dengan capaian mudah menerusi Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Utara Selatan dan terowong SMART.

Dengan ini, bilik pameran Porsche di Damansara akan berpindah ke Sungai Besi. PCSB adalah bilik pameran pertama di Malaysia yang mengguna pakai identiti ‘Porsche Centre’ dan dibina khas untuk menepati keperluan SDAP.
Dengan keluasan 34,703 kaki persegi, ia mempunyai ruang pameran untuk 10 kereta, ditambah lagi dengan dua ruang khas untuk penyerahan pembelian baharu, sembilan ruang servis kenderaan; dan buat pertama kali adalah penambahan sebuah ‘Carrera Lounge’.
Di tingkat dua, kemudahan Porsche Approved Pre-Owned Car Centre membolehkan mereka yang berminat untuk membeli Porsche terpakai yang diluluskan SDAP.
PCSB juga menampung tugas sebagai pusat latihan bagi kakitangan teknikal dan jualan. Mereka yang dilatih di sini akan menjalani program pensijilan yang diiktiraf Porsche AG.
Serentak dengan majlis pelancaran Porsche Centre Sungai Besi, SDAP turut memperkenalkan model terbaharu untuk pasaran Malaysia: 911 Targa dan Cayenne. Model supercar moden dengan teknologi ‘plug-in hybrid’ paling ulung oleh Porsche iaitu 918 Spyder juga ada dipamerkan.