Rumah di tingkat 3 apartmen Seremban musnah terbakar

Bernama
Mac 26, 2021 02:11 MYT
Kebakaran memusnahkan 80 peratus rumah di tingkat 3, Apartment Dahlia Garden Avenue, dekat Seremban, pada Khamis. - Gambar hiasan
SEREMBAN: Sebuah rumah di tingkat 3, di Apartment Dahlia Garden Avenue, dekat sini, musnah dalam kebakaran, semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung perkara itu pada pukul 8.10 malam.
"Tiba di lokasi, didapati rumah berkeluasan 20x40 sedang marak terbakar dan api dapat dipadam sepenuhnya kira-kira 8.19 malam.
"Kebakaran itu memusnahkan 80 peratus rumah berkenaan.
"Bagaimanapun, semasa kejadian ibu bersama seorang anaknya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), dapat menyelamatkan diri dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan.
-- BERNAMA
#Apartment Dahlia Garden Avenue #kebakaran #bomba #JBPM #Ahmad Mukhlis Mokhtar #OKU #marak terbakar #Seremban #JBPM Negeri Sembilan