[TERKINI] Hamas Serah 7 Tebusan Israel kepada ICRC di Gaza – Fasa Pertama Gencatan Senjata Bermula
MALAYSIA

Rumah etnik Bidayuh di Kampung Budaya Sarawak akan dibina semula segera - SCV

Bernama 13/10/2025 | 04:45 MYT
Kebakaran yang bermula sekitar 7.30 malam tadi telah memusnahkan rumah etnik berkenaan yang berkeluasan 1,130 meter persegi dan punca kejadian masih dalam siasatan. - Gambar/ JBPM
KUCHING: Rumah Etnik Bidayuh di Kampung Budaya Sarawak (SCV) yang musnah dijilat api malam tadi akan dibina semula secepat mungkin menjelang Tahun Melawat Malaysia akan datang.


Ringkasan AI
  • Rumah Etnik Bidayuh di Kampung Budaya Sarawak yang musnah dalam kebakaran akan dibina semula menjelang Tahun Melawat Malaysia, dengan bantuan daripada pihak muzium dan komuniti Bidayuh bagi memulihkan artifak serta bahan warisan.
  • Rumah yang dibina pada 2007 itu berfungsi sebagai tempat simpanan artifak dan hanya digunakan semasa festival, manakala operasi Kampung Budaya Sarawak kekal berjalan seperti biasa dengan akses terhad di kawasan terjejas.
  • Kebakaran bermula sekitar 7.30 malam dan memusnahkan struktur seluas 1,130 meter persegi, dengan punca kejadian masih dalam siasatan oleh pihak bomba.


Pengarah Jualan, Pemasaran dan Acara SCV Zaini Zainuddin berkata Rumah Etnik Bidayuh merupakan antara tarikan pelancongan popular di kampung budaya itu, yang dibuka sejak tahun 1990.

Beliau berkata rumah itu dibina pada tahun 2007 dan asalnya bersaiz kecil sebelum diperbesar bagi menampung jumlah pengunjung yang semakin meningkat.

"Semasa kejadian, rumah itu kosong dan berfungsi sebagai tempat menyimpan artifak kaum Bidayuh yang berharga.

"Ia hanya digunakan ketika musim festival sahaja manakala pada hari biasa, tiada sesiapa menghuni di situ," katanya kepada pemberita di lokasi kebakaran di sini hari ini.

Zaini juga berkata dalam usaha membangunkan semula rumah berkenaan, SCV akan mendapatkan bantuan daripada pihak muzium serta komuniti Bidayuh khususnya daripada segi artifak dan bahan warisan etnik itu.

Kenyataan SCV pula memaklumkan bahawa operasi kampung budaya itu berjalan seperti biasa memandangkan hanya Rumah Etnik Bidayuh yang terjejas dalam insiden kebakaran tersebut.

"Kampung Budaya Sarawak akan terus dibuka kepada pengunjung, dengan akses di sekitar kawasan terjejas dihadkan buat sementara waktu bagi memastikan keselamatan serta melancarkan siasatan dan usaha pemulihan.

"Semua rumah budaya dan kemudahan lain di Kampung Budaya Sarawak kekal utuh dan tidak terjejas," menurut kenyataan itu.

Menurut Pusat Gerakan dan Operasi Bomba Sarawak, kebakaran yang bermula sekitar 7.30 malam itu telah memusnahkan rumah etnik berkenaan yang berkeluasan 1,130 meter persegi dan punca kejadian masih dalam siasatan.

-- BERNAMA


#Rumah Etnik Bidayuh #Kampung Budaya Sarawak #kebakaran #tahun melawat malaysia