MALAYSIA
Rumah jadi tempat simpanan 720 kg minyak masak peket
Sebahagian daripada kotak berisi minyak masak peket yang ditemukan di di sebuah rumah yang dijadikan tempat simpanan dekat Teluk Kurin, Buntong di sini pada Isnin. - Gambar KPDN Perak
IPOH: Sebanyak 720 kilogram (kg) minyak masak peket yang merupakan barang kawalan disita di sebuah rumah yang dijadikan tempat simpanan dekat Teluk Kurin, Buntong di sini pada Isnin.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan itu dilakukan setelah risikan dilakukan selama seminggu.
"Pegawai dan penguat kuasa KPDN telah membuat serbuan di sebuah rumah yang dijadikan sebagai tempat simpanan minyak masak peket.
"Seorang lelaki berusia 27 tahun disyaki penyewa rumah telah diambil rakaman percakapan bagi membantu siasatan.
"Siasatan awal mendapati individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen bagi penyimpanan barang kawalan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya lagi, minyak masak peket serta dokumen perniagaan disita dengan nilai dianggarkan sejumlah RM1,800.
Ujar Kamalludin, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
KPDN turut memberi amaran keras ke atas mana-mana individu atau syarikat yang berkaitan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.
Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).
"KPDN memberikan amaran dan menegaskan Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti atau sindiket penyelewengan barang kawalan dan akan memastikan tindakan lebih tegas termasuklah pendakwaan di mahkamah," katanya.