Rumah, kereta, motosikal musnah dalam kebakaran awal pagi

Abd Razak Mohd Ali
Disember 31, 2019 23:45 MYT
Operasi memadamkan kebakaran rumah di Taman Mas, Sitiawan itu tamat kira-kira pukul 2.17 pagi. Foto JBPM Perak
Sebuah kereta dan dua buah motosikal musnah dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Jalan Simpang 2, Taman Mas, di sini, awal pagi ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 12.13 tengah malam.
Katanya, kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas A berkeluasan 20 x 50 kaki persegi yang musnah terbakar 90 peratus.
“Sebuah kereta jenis Perodua Viva dan dua buah motosikal, kesemuanya musnah terbakar 90 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, 15 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dan BBP Seri Manjung terlibat dalam operasi pemadaman dengan dibantu lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ayer Tawar.
Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Zaki Zainol itu selesai kira-kira pukul 2.17 pagi.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.
#Ayer Tawar #bomba #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #kebakaran #mangsa #manjung #motosikal #rumah #rumah kelas A #rumah terbakar #Sitiawan