Kunjungan ke Rumah Merdeka peninggalan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra di belakang Hotel Royale, Jalan Putera di sini berupaya mengembalikan nostalgia kepada perjuangan Tunku dalam memperoleh kemerdekaan negara.

Kini Rumah Merdeka diambil alih Arkib Negara dengan mengekalkan keadaan asalnya.

Rumah ini dinamakan Rumah Merdeka kerana di sini juga urusan untuk mendapatkan kemerdekaan dilakukan oleh Tunku bersama rakan-rakannya.

Mohamad Fazlan Mohamad Ashraf, 27, melihat artikel yang dipamerkan di ruang atas Rumah Merdeka ketika melawat Rumah Merdeka Alor Setar. - Foto BERNAMA

Rumah ini turut mencatat sejarah apabila pada 1966, Tunku menerima Misi Muhibah dari Jakarta yang diketuai Laksamana Muda Laut O.B Sjaaf untuk berbincang yang akhirnya membawa kepada penamatan Konfrontasi Malaysia-Indonesia.

Bagi Mohd Azrul Mohd Razak, 29, meninjau Memori Tunku Abdul Rahman di rumah ini membawa pengertian sejarah negara paling bermakna.

"Rumah Merdeka milik Bapa Kemerdekaan ini mempunyai banyak kenangan dan sejarah penting yang dapat dilihat oleh generasi muda pada hari ini. Sangat merugikan jika kita yang menggelar diri sebagai anak merdeka, tapi tidak pernah menjejak kaki ke sini.

"Maklumat yang terdapat dalam rumah ini membuktikan kesusahan dan kegigihan pemimpin terdahulu dalam memastikan negara bebas daripada cengkaman penjajah demi memastikan seluruh rakyat hidup dengan aman dan harmoni," katanya.

Pelajar Kolej Poly-Tech Mara, Salman Sazali, 19, mendapati terlalu banyak sejarah penting berlaku di Rumah Merdeka terutama berkaitan perbincangan antara Tunku dengan pemimpin pelbagai kaum yang lain untuk mencapai kemerdekaan.

"Kita dapat lihat tempat Tunku berjumpa dengan pemimpin lain berbincang tentang dasar kerajaan dan untuk memenangi pilihan raya pertama," katanya.

Mohd Azrul Mohd Razak, 29 (kiri) melihat ruang bacaan dan ruang muzik yang menjadi ruang ilham untuk Tunku Abdul Rahman melakukan aktiviti penulisannya. - Foto BERNAMA

Muhammad Zaquan Mohamad Zamri, 19, pula berkata sempena kemerdekaan negara ke-57 yang akan disambut Ahad ini, generasi muda perlu mengambil peluang untuk menyelami dan merungkai cerita di sebalik usaha memerdekakan negara.

"Dengan berkunjung ke Rumah Merdeka, kita boleh melihat dengan lebih dekat hasil tinggalan perjuangan kemerdekaan Tunku Abdul Rahman untuk rakyat," katanya.