Rumah Panjang Charles Egat musnah dijilat api

Astro Awani
Ogos 3, 2016 14:40 MYT
api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.49 petang dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Sebuah rumah panjang dengan kapasiti 14 pintu musnah sepenuhnya selepas terlibat dalam satu kebakaran petang tadi.
Kebakaran kira kira jam 2.15 petang di Rumah Panjang Charles Egat yang terletak di Teluk Telalo, Pulau Kerto di sini turut menyebabkan kira-kira 130 orang penghuninya hilang tempat tinggal.
Menurut Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Farhan Sufyan Borhan, pihaknya telah menerima panggilan pada jam 2.24 petang dan terus mengerakkan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu.
Mereka dibantu oleh sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah yang turut sama ke lokasi kejadian.
"Sampai di tempat kejadian yang terletak kira kira 35 km dari balai pada jam 3.05 petang, didapati benar berlaku kebakaran yang melibatkan sederet rumah panjang struktur binaan diperbuat daripada kayu telah musnah keseluruhannya,” katanya di sini.
Beliau turut berkata api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.49 petang dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Siasatan berkaitan punca kebakaran sedang dijalankan.
#bomba dan penyelamat #hangus #kebakaran rumah panjang #Rumah Panjang Charles Egat