Rumah panjang terbakar, 150 penghuni tinggal sehelai sepinggang

Shafik Ahmad
Ogos 9, 2021 23:26 MYT
Sekurang-kurangnya 150 orang penduduk hilang tempat tinggal selepas rumah panjang 21 pintu di Kampung Sekubang, Batu Kawa Lama musnah dalam kebakaran kira-kira jam 7.30 malam Isnin. -Gambar hiasan
KUCHING: Sekurang-kurangnya 150 penduduk hilang tempat tinggal selepas rumah panjang 21 pintu di Kampung Sekubang, Batu Kawa Lama musnah dalam kebakaran kira-kira jam 7.30 malam Isnin.
Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata kesemua penghuni termasuk 66 kanak-kanak berjaya keluar dengan selamat.
“Kesemua mangsa selamat tanpa kecederaan semasa keluar dari kediaman mereka,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, operasi pemadaman melibatkan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang selain dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya.
Bagaimanapun pihaknya mengalami kesukaran untuk jentera masuk ke lokasi kejadian susulan keadaan jalan yang kecil dan sempit.
“Rumah panjang ini berstruktur tidak kekal dan ia telah musnah 100 peratus kerana api merebak dengan cepat.
“Pasukan kita sedang menjalankan kerja-kerja overhaul dan pemadaman dibuat menggunakkan sumber air terus dari pili berhampiran,” katanya.
Kesemua mangsa kini ditempatkan sementara di dewan sekolah berdekatan.
Setakat ini, katanya, punca kebakaran serta jumlah kerugian belum dapat dipastikan dan siasatan masih dijalankan pasukan forensik.
#Rumah panjang terbakar #150 penduduk #tinggal sehelai sepinggang #Kampung Sekubang #bomba #Batu Kawa Lama #Tiong Ling Hii #BBP Batu Lintang