Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merancang membina sebuah rumah sampah yang lebih teratur di pekan Tenghilan, Tuaran.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata, perancangan pembinaan itu akan dibuat menerusi Majlis Daerah Tuaran selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tamat.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah menjelaskan, pembinaan itu penting memandangkan pekan tersebut tidak mempunyai rumah sampah yang boleh menempatkan tong-tong sampah komunal yang sistematik serta teratur.

"Dengan kapasiti tong sampah komunal yang lebih besar, sampah sarap yang dibuang oleh penduduk sekitar pekan Tenghilan dan kampung berdekatan akan dapat ditampung," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Jahid Jahim (PBS-Tamparuli) mengenai langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan isu tempat pembuangan sampah dan masalah tandas di Pekan Tenghilan.

Jaujan menambah, Majlis Daerah Tuaran turut diarahkan untuk mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu tandas di pekan itu bagi memastikan tandas-tandas di daerah Tamparuli sentiasa bersih dan selamat digunakan.

Katanya, keadaan tandas awam di pekan Tenghilan ketika ini dilaporkan sudah diperbaiki dan berfungsi.

Sementara itu, Jaujan turut menjelaskan pintu gerbang di Pekan Apin-Apin Keningau tidak dapat dilaksanakan buat ketika ini susulan kekangan peruntukan.

Bagaimanapun pihaknya mengambil perhatian mengenai cadangan pembinaan pintu gerbang di Pekan Apin-Apin itu.