Rumah terbakar, dua penghuni sempat selamatkan diri

Sinar Harian
Oktober 14, 2021 23:30 MYT
Kebakaran sebuah rumah di Jalan Ros, Batu 7 Ijok, Kuala Selangor pada Khamis. -Foto Sinar Harian
KUALA SELANGOR: Dua penghuni sebuah rumah sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran di Jalan Ros, Batu 7 Ijok, di sini pada Khamis.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.54 petang.
Menurutnya, seramai enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya bersama jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah bangunan kelas C berukuran 40 X 100 kaki persegi terbakar 90 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Norazam berkata, semasa kejadian dua penghuni masing-masing lelaki berusia 38 dan 16 tahun sempat keluar dari rumah menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Sehingga kini, operasi pemadaman masih giat dijalankan dan punca sebenar kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
#Balai Bomba dan Penyelamat #kebakaran rumah #Ijok #Norazam Khamis