KOTA BHARU: Ketika umat Islam gembira meraikan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri, sepasang suami isteri terpaksa menumpang rumah ahli keluarga lain apabila kediaman yang didiami mereka terbakar.

Mangsa, Raja Norhanani Norabidin Shah, 36, berkata, akibat kejadian itu, mereka terpaksa membatalkan menu yang ditempah pelanggan untuk jamuan rumah terbuka.

Menurutnya, lebih menyedihkan, kejadian di luar jangka itu menyebabkan kesemua peralatan elektrik dan memasak musnah manakala kerugian mungkin mencecah lebih RM100,000.

"Kami terpaksa membatalkan kesemua tempahan pelanggan yang mungkin berharap untuk menjamu tetamu di rumah terbuka mereka," katanya ketika ditemui di kediaman yang juga milik ibunya pada Ahad.

Menurutnya, akibat kejadian berkenaan, Mohd Nasir mengalami patah kaki kanan kerana berlari menyelamatkan anak-anak dalam asap tebal sebelum mengetuk beberapa rumah jiran untuk memaklumkan kejadian itu.

Berkongsi insiden itu, Raja Norhanani memberitahu, dia tiba-tiba terdengar anak bongsunya yang berusia setahun setengah menangis di ruang tamu bahagian bawah kira-kira jam 3.30 pagi Khamis lalu.

"Saya kemudian bangun dan terkejut melihat kepulan asap tebal dan terus menjerit memanggil suami yang ketika itu tidur di ruang tamu.

"Pada masa sama saya melihat api di dapur sedang marak dan suami turut mengarahkan saya menelefon bomba sebelum dia keluar memaklumkan kepada jiran," katanya.

Bagaimanapun, Raja Norhanani bersyukur kerana kejadian itu tidak melibatkan nyawa ahli keluarga dan kesemua mereka selamat.

Ibu tiga anak itu juga menjelaskan, mereka kini sedang mengumpul kekuatan untuk memulakan kembali perniagaan yang diusahakan sejak 2017.

Tambahnya, mereka juga buntu untuk membaiki kembali rumah berkenaan terutama pendawaian rumah yang dikatakan memerlukan kos keseluruhan sebanyak RM20,000.

"Saya tidak tahu bila kami boleh tinggal semula di sini. Buat masa ini kami lima beranak menumpang sementara di rumah kakak di Banggol Chicha, Pasir Mas," ujarnya.

Orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Raja Norhanani di talian 01139133119 atau menyalurkan sumbangan di akaun Bank Islam 13017020 901869 atas nama Raja Norhanani. -- Sinar Harian