MALAYSIA

Rundingan damai: Thailand, Kemboja pilih Malaysia kerana politik, ekonomi negara stabil – PM Anwar

Shafiqa Azami 03/08/2025 | 03:20 MYT
Perdana Menteri Anwar berucap di Majlis perasmian dan melancarkan Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Sabah pada Ahad.
KOTA KINABALU: Malaysia dipilih sebagai tuan rumah rundingan damai antara Thailand dan Kemboja berikutan keyakinan terhadap kestabilan politik dan kemajuan ekonomi negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, keputusan itu membuktikan kepimpinan dan pendekatan diplomatik Kerajaan MADANI diyakini oleh negara serantau dan kuasa besar antarabangsa.

"Apabila umpamanya peperangan, hampir ada peperangan di sempadan Thailand dan Kemboja baru-baru ini.

"Mereka memberi kepercayaan kepada kita... setuju hadir ke Kuala Lumpur kerana yakin kepada kita. Bukan sebab satu dua orang, tapi kerana kestabilan politik dan jentera pentadbiran kita sekarang,” kata beliau.

Anwar berkata demikian dalam ucapan perasmian dan melancarkan Hari Penternak, Peladang dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK), di sini, pada Ahad.

Menurut Anwar, rundingan yang dijadualkan berlangsung antara 4 hingga 7 Ogos itu akan melibatkan penyertaan Menteri Pertahanan dan pegawai kanan keselamatan dari kedua-dua negara.

Dalam masa sama, Perdana Menteri berkongsi penghargaan yang dirakamkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang telah menghubunginya secara peribadi untuk menyatakan sokongan terhadap usaha damai yang diterajui Malaysia.

“Presiden Trump telefon saya pagi-pagi, ucap terima kasih kerana bantu selesaikan konflik ini. Presiden Xi (Jinping) juga tahu tentang usaha kita,” katanya.

Anwar menegaskan, kejayaan itu adalah hasil pendekatan diplomasi berasaskan prinsip tidak berpihak, kematangan dasar luar dan kerjasama erat antara agensi kerajaan.

Tambah beliau, ia juga mencerminkan peranan Malaysia sebagai negara yang dihormati dalam kalangan ASEAN, selain membuktikan keupayaan negara berfungsi sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan konflik serantau.

Rundingan empat hari itu merupakan usaha rasmi pertama yang melibatkan pertemuan fizikal kedua-dua negara terbabit, dengan Malaysia menjadi pemudah cara bersama Sekretariat ASEAN.









#konflik Thailand-Kemboja #rundingan damai #kestabilan politik #ekonomi stabil #PM Anwar Ibrahim