Rundingan FTA Malaysia-EU akan bermula tidak lama lagi - Tengku Zafrul

TENGKU ZAFRUL: Setelah selesai, perjanjian ini akan memperdalam hubungan industri, mengukuhkan rantaian bekalan dan memupuk kerjasama yang kukuh serta saling menguntungkan di antara Malaysia dengan Perancis. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Kesatuan Eropah (MEUFTA) akan bermula tidak lama lagi selepas semua ahli pasukan rundingan dari kesatuan itu tiba di Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Ringkasan AI
- Menteri MITI Tengku Zafrul berkata rundingan MEUFTA akan disambung semula selepas pasukan rundingan EU tiba di Malaysia, menandakan komitmen kedua-dua pihak terhadap perdagangan terbuka.
- Beliau memaklumkan Perancis mempunyai 149 projek di Malaysia bernilai RM6.3 bilion yang mewujudkan lebih 12,000 pekerjaan, menjadikannya pelabur dan rakan dagang keempat terbesar negara.
- Tengku Zafrul menekankan kerjasama MalaysiaPerancis akan diperkukuh dalam sektor seperti aeroangkasa, tenaga, teknologi, pembuatan hijau dan inovasi industri.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Gala Perancis Malaysia yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan dan Industri Perancis Malaysia di sini malam ini.
Menurut Tengku Zafrul, sebanyak 149 projek dengan syarikat Perancis sudah dilaksanakan di Malaysia setakat Jun 2025 yang berjumlah RM6.3 bilion serta mewujudkan lebih 12,000 pekerjaan.
Beliau berkata Perancis merupakan pelabur keempat terbesar Malaysia dan juga rakan dagang keempat terbesar di negara ini.
Jelasnya, pelaburan syarikat Perancis di Malaysia bukan sekadar modal sebaliknya ia mencerminkan keyakinan dalam kerjasama dan cita-cita bersama.
"Kami ingin mendorong sektor pembuatan maju, peralihan tenaga serta industri digital dan pada masa yang sama menarik pelaburan berkualiti.
"Oleh itu, kami menghargai kepakaran Perancis dalam aeroangkasa, tenaga dan teknologi selain mengalu-alukan kerjasama yang lebih mendalam dalam pembuatan hijau, teknologi bersih serta inovasi industri," tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


