MALAYSIA

Rundingan Petronas-Petros perlu cermat, risiko ekonomi besar jika cuai - Rafizi

Astro Awani 04/08/2025 | 05:40 MYT
Rafizi menjelaskan, dividen tahunan Petronas digunakan untuk membiayai pelbagai perkhidmatan awam termasuk sekolah, hospital, prasarana, bayaran pencen dan gaji penjawat awam, termasuk di Sarawak. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Rundingan berterusan antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) berhubung pemilikan serta pengagihan hasil gas perlu dilaksanakan secara cermat dan menyeluruh bagi mengelakkan kesan negatif terhadap ekonomi negara, kata bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.


Ringkasan AI
  • Risiko kepada kewangan negara: Rundingan PetronasPetros berpotensi menyebabkan Petronas kehilangan RM1520 bilion setahun, menjejaskan dividen kerajaan persekutuan serta perkhidmatan awam seperti sekolah dan hospital.
  • Pertikaian undang-undang dan sempadan: Tuntutan Sarawak terhadap hasil gas berhadapan isu perundangan yang rumit antara akta persekutuan dan negeri serta tuntutan sempadan maritim hingga 200 batu nautika.
  • Kesan kepada pelaburan dan kontrak antarabangsa: Ketidaktentuan dasar boleh melemahkan keyakinan pelabur asing dan mengganggu kontrak jual beli gas jangka panjang dengan negara seperti Jepun dan China.


Beliau berkata, pendekatan yang tidak berhati-hati dalam melayan tuntutan hasil gas oleh kerajaan negeri Sarawak berpotensi menyebabkan Petronas kehilangan antara RM15 bilion hingga RM20 bilion setahun, sekali gus menjejaskan keupayaan syarikat itu menyumbang kepada kewangan negara.

“Petronas ketika ini menyumbang sekitar RM30 hingga RM35 bilion setahun kepada kerajaan persekutuan. Jika jumlah itu berkurangan, kesannya langsung kepada kemampuan negara membiayai perkhidmatan asas,” katanya menerusi episod terbaharu audio siar ‘Yang Berhenti Menteri’.

Rafizi menjelaskan, dividen tahunan Petronas digunakan untuk membiayai pelbagai perkhidmatan awam termasuk sekolah, hospital, prasarana, bayaran pencen dan gaji penjawat awam, termasuk di Sarawak.

“Walaupun dana itu tidak masuk ke poket kerajaan negeri, kemudahan awam di Sarawak seperti sekolah dan hospital dibina menggunakan dana persekutuan hasil dividen Petronas,” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa penurunan hasil Petronas boleh menyebabkan penarafan kredit negara merosot, sekali gus meningkatkan kos pinjaman kerajaan yang kini mencecah RM48 bilion setahun dan berpotensi melonjak ke RM60 bilion.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata isu ini menjadi rumit susulan pertindihan antara Akta Pembangunan Petroleum dan Ordinan Perlombongan Minyak, selain tuntutan Sarawak terhadap sempadan maritim sehingga 200 batu nautika berdasarkan hak sebelum menyertai Malaysia pada 1963.

Sebaliknya, undang-undang persekutuan seperti Akta Pelantar Benua menetapkan bahawa hasil minyak dan gas di luar tiga batu nautika adalah di bawah bidang kuasa persekutuan.

“Rakyat Sarawak memang berhak mendapat lebih banyak hasil daripada sumber bumi mereka, namun pendekatan untuk menuntut hak itu perlu dibuat secara berhemah,” katanya.

Rafizi turut membangkitkan kebimbangan terhadap ketidaktentuan dasar dan perundangan yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur, khususnya dalam industri minyak dan gas yang memerlukan pelaburan awal berbilion ringgit.

Beliau merujuk kepada laporan penarikan diri syarikat antarabangsa ConocoPhillips daripada usaha carigali di Sarawak serta tindakan undang-undang oleh Shell terhadap Petros berhubung isu hak pengurusan dan pemilikan sumber gas.

“Jika pelabur lihat dasar negara tidak stabil, mereka akan beralih ke negara lain seperti Indonesia atau Surinam,” katanya.

Rafizi turut menekankan bahawa kontrak jual beli gas antara Petronas dan pembeli antarabangsa seperti Jepun dan China lazimnya bersifat jangka panjang sehingga 30 tahun, dan sebarang perubahan unilateral boleh menjejaskan persepsi keadilan kontrak.

“Bayangkan jika tiba-tiba ada tuntutan tambahan RM15 bilion daripada perjanjian asal dari mana nak cari dana? Jika ia perlu ditanggung Petronas, pembeli antarabangsa pun mungkin membantah,” katanya.

Rafizi yang pernah berkhidmat dalam portfolio antarabangsa Petronas menegaskan bahawa rundingan antara kerajaan negeri dan Petronas perlu menghasilkan penyelesaian menang-menang yang tidak menjejaskan industri, syarikat dan negara.

“Saya setuju Sarawak patut dapat lebih. Tapi kita kena cari cara yang tidak jejaskan industri, tidak jejaskan kemampuan Petronas, dan tidak jejaskan negara,” katanya.

Beliau menambah, penstrukturan semula hasil minyak perlu dilakukan melalui pelaburan pembangunan dan bukan sekadar pemberian dana, dengan mengambil kira struktur ekonomi negara yang sedia tertekan.







#Petronas #Petros #Rafizi Ramli #risiko ekonomi