IPOH: Kerja-kerja mencari dan menyelamat dua mangsa yang dipercayai tertimbus di bawah runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, disambung semula pagi Rabu.

Operasi dimulakan sekitar jam 8.30 pagi.

Sebanyak dua jentera berat digunakan untuk memecahkan bongkah batu bagi membuat laluan ke lokasi mangsa dipercayai tertimbus.

Operasi disertai hampir 90 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi.

Antara yang terlibat ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Unit K9 dan Unit Dron JBPM.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi Selasa, dua pekerja berjaya menyelamatkan diri manakala dua masih hilang, dikhuatiri tertimbus.

BACA: Runtuhan batu kuari: Dua cedera, dua hilang dikhuatiri tertimbus

Mangsa yang dipercayai masih tertimbus, dikenali sebagai Kheow Loo Siew Soon, 49, dan Itam Lasoh, 43.

Dua lagi mangsa, Mohd Razli Suhaimi, 35, mengalami patah kaki dan dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk menerima rawatan manakala rakannya Pan Bah Tam, 38, mengalami cedera ringan.