Runtuhan batu kuari: Pergerakan tanah dikhuatiri masih berlaku

Abd Razak Mohd Ali
Mac 8, 2022 08:25 MYT
Dalam kejadian yang berlaku sekitar 9.15 pagi itu, dua pekerja syarikat kuari terselamat manakala dua lagi dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan. - Foto Astro AWANI
IPOH: Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengesan masih terdapat pergerakan tanah di kawasan runtuhan batu kapur di Keramat Pulai, Simpang Pulai, Ipoh.
Sehubungan itu, kerja-kerja menyelamat dua mangsa yang dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan ditangguhkan sehingga mendapat nasihat daripada pihak JMG.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, selain pihak JMG, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia juga dijadualkan akan membuat penilaian di lokasi insiden.
"Kerja-kerja menyelamat telah dimulakan tadi tapi oleh kerana atas nasihat pihak JMG dan ada pergerakan tanah masih lagi," kata Mior.
"Kajian sedang dibuat sama ada kita boleh teruskan kerja menyelamat pada hari ini atau pun kita tengok hasil daripada kajian yang dibuat oleh pihak JMG untuk kita teruskan usaha menyelamat ke atas kedua-dua orang mangsa yang masih lagi tertimbus di kawasan tempat kejadian ini," katanya.
[
TERKINI] Runtuhan tapak kuari, dua selamat, dua masih hilang
Beliau ditemui di lokasi kejadian runtuhan bukit batu kapur di sebuah kawasan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai, pada Selasa.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar 9.15 pagi itu, dua pekerja syarikat kuari terselamat manakala dua lagi dikhuatiri masih tertimbus di bawah runtuhan.
Kerja-kerja menyelamat dijangka mengambil masa satu atau dua hari, bergantung kepada faktor cuaca serta kajian daripada pihak JMG dan SMART.
Menurut Mior, usaha menyelamat perlu diadakan secara teliti untuk mengelakkan daripada berlaku sebarang kecederaan terhadap pasukan penyelamat.
"Atas faktor ini, kita perlu menunggu clearance daripada pihak JMG dan juga pihak SMART, sebelum kita memulakan ataupun meneruskan proses mengeluarkan mangsa tertimbus di tempat kejadian," tambahnya.
Dalam insiden pada pagi Selasa itu, dua orang dilaporkan terselamat manakala dua lagi masih hilang apabila bukit batu kapur di sebuah kawasan kuari berkenaan.
Menurut jurucakap JBPM Perak, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 9.40 pagi.
Berdasarkan maklumat, terdapat empat mangsa, dua dapat menyelamatkan diri manakala dua yang lain masih tertimbus di bawah runtuhan batu.
Terdahulu, Astro AWANI difahamkan, salah seorang mangsa ialah lelaki Orang Asli yang dikenali sebagai Itam Bah Lasoh, 43, manakala seorang lagi masih belum dikenal pasti.
Kedua-dua mangsa dipercayai pemandu jengkaut di lokasi kejadian.
Mangsa yang cedera pula berusia 35 dan 38 tahun.
#kuari runtuh #Simpang Pulai Perak #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #mangsa Orang Asli