MALAYSIA

Runtuhan tapak kuari: Masih ada peluang mangsa hidup, operasi SAR sambung 7 pagi esok

Asyraf Malik 14/09/2025 | 13:49 MYT
Keadaan di lokasi yang dikategorikan berbahaya kerana struktur tanah masih belum stabil. - Astro AWANI
KUANTAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pekerja kuari yang tertimbus runtuhan batu di Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub ditangguhkan sekitar jam 7.40 malam pada Ahad, ia akan disambung semula jam 7 pagi, Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Raub, DSP Farid Mokhtar berkata, mangsa masih mempunyai peluang untuk ditemukan hidup, meskipun lebih 32 jam tertimbus selepas kejadian pada jam 12.50 tengah hari, Sabtu.

“Pada runtuhan batu itu terdapat rongga-rongga halus yang membenarkan udara masuk dan mangsa boleh bernafas sekiranya terselamat impak runtuhan,” ujar beliau ketika ditemui Astro AWANI di lokasi kejadian, pada Ahad.

Namun operasi SAR yang melibatkan 34 anggota dari pelbagai agensi itu menghadapi beberapa cabaran, antaranya cuaca hujan dan kehadiran angin menyukarkan Unit Anjing Pengesan (K9) mengesan bau berkaitan mangsa.

“Selain itu, struktur dan integriti tanah di lokasi kejadian masih belum stabil, ada risiko untuk runtuhan susulan berlaku,” jelas Farid.

Ketiadaan lampu limpah di lokasi juga menyukarkan operasi SAR untuk diteruskan pada waktu malam kerana keadaan gelap gelita.

Tinjauan Astro AWANI di kawasan sekitar mendapati ada khemah khas disediakan di luar radius runtuhan untuk waris mangsa menunggu perkembangan dari semasa ke semasa.

Sebelum operasi ditangguhkan pada lewat petang, ibu mangsa dan beberapa ahli keluarga dibawa naik ke pusat SAR untuk diberikan taklimat penuh mengenai dapatan hari kedua operasi dan perancangan keesokan hari.

Tambah Farid, operasi SAR hari kedua ini turut melibatkan kepakaran daripada Jabatan Mineral dan Geosains, Pahang Mining Corporation serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

“Dua jengkaut juga beroperasi di lokasi untuk mencari dan menyelamatkan mangsa pada hari kedua ini,” ujarnya.


#runtuhan batu #kuari #Raub #pekerja kuari tertimbus #pergerakan tanah #operasi sar