MALAYSIA

Runtuhan tapak kuari: Zon baharu SAR ditentukan, pencarian malam sangat berisiko - Polis

Asyraf Malik 15/09/2025 | 06:50 MYT
Keadaan di lokasi runtuhan di mana seorang pekerja kuari, Mohammad Fazrul Illahi Ab Rahman tertimbus lebih 48 jam. -Gambar fail/Astro AWANI
KUANTAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pekerja kuari tertimbus runtuhan batu di Raub disambung semula 8 pagi, Isnin selepas lebih 48 jam sejak kejadian pada 12.50 tengah hari, Sabtu.


Ringkasan AI
  • Operasi SAR pekerja kuari di Raub masuk hari ketiga, disambung semula 8 pagi Isnin selepas lebih 48 jam kejadian runtuhan batu yang menimbus mangsa.
  • Pencarian diperluas ikut trajektori runtuhan, dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) dalam radius 300 meter; operasi malam tidak diteruskan kerana risiko tanah tidak stabil dan hujan.
  • Mangsa dipercayai masih di bawah runtuhan, polis fokus SAR sebelum siasat dakwaan kuari langgar SOP; tiga pekerja asing cedera dalam insiden sama.


Ketua Polis Daerah Raub, Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata operasi pencarian kini diperluas berdasarkan zon yang ditentukan mengikut trajektori runtuhan menimpa mangsa, Mohammad Fazrul Illahi Ab Rahman.

"Kita akan trigger zon mengikut lokasi asal jentera yang dikendalikan mangsa ketika kejadian, kemudian ke mana ia menggelongsor akibat runtuhan, dekat situ kebarangkalian tinggi mangsa akan ditemukan.

"Unit Anjing Pengesan (K9) setakat ini masih bepusing di lokasi runtuhan, dalam radius 300 meter, dipercayai mangsa memang ada di bawah situ," jelas Shahril ketika dihubungi Astro AWANI.

Tambah beliau, operasi SAR tidak diteruskan pada waktu malam kerana pelbagai risiko menanti yang boleh membahayakan nyawa anggota agensi terlibat.

"Jabatan Mineral dan Geosains sendiri tidak benarkan, tanah di situ masih belum stabil, ditambah pula cuaca sekarang kerap hujan.

"Bukannya kita tak mahu pasang lampu limpah dan teruskan operasi SAR pada waktu malam, tetapi keadaan tidak mengizinkan, pada bila-bila masa boleh berlaku runtuhan susulan. Anggota kami sedang melakukan yang terbaik untuk mencari mangsa.

"Setakat ini belum ada petunjuk baharu yang diterima, kita tetap doakan mangsa dapat ditemukan dengan selamat," jelas Shahril.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Daerah Raub, DSP Farid Mokhtar berkata, mangsa masih mempunyai peluang untuk ditemukan hidup kerana terdapat rongga-rongga halus yang membenarkan udara masuk dan mangsa boleh bernafas sekiranya terselamat impak runtuhan

Seterusnya, mengulas dakwaan penduduk tempatan kononnya kuari terbabit beroperasi tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP), Shahril berkata siasatan punca kejadian belum dimuktamadkan kerana tenaga kerja kini ditumpukan untuk operasi SAR.

"Itu kena minta siasatan pejabat tanah dan galian, misalnya daripada segi permit dan sebagainya. Kalau daripada pihak polis, kita tengah fokus untuk mencari mangsa dulu," kata Shahril.

Untuk rekod, ketika kejadian mangsa dipercayai sempat melompat keluar daripada jentera sebelum dihempap, manakala tiga pekerja warga asing turut dilaporkan cedera.



#runtuhan batu #kuari #Raub #pekerja kuari tertimbus #operasi sar #terkini