MALAYSIA

Rusia belum sahkan kehadiran Putin di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47

Bernama 26/09/2025 | 11:06 MYT
Kondratev menghadiri Rundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dengan Rusia kali ke-14 di ibu negara, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kehadiran Presiden Rusia Vladimir Putin di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober ini masih belum disahkan.


Ringkasan AI
  • Kehadiran Vladimir Putin ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 masih belum disahkan, menurut pegawai Rusia; keputusan akan diumumkan oleh pihak berkuasa rasmi apabila dimuktamadkan.
  • Anwar Ibrahim telah mengundang Putin untuk hadir ke Sidang Kemuncak Asia Timur pada Oktober, selepas pertemuan mereka di Beijing awal bulan ini.
  • Trump dan Li Qiang sah hadir Sidang Kemuncak ASEAN, yang akan berlangsung hujung Oktober di Malaysia.


Ketua Pengarah Jabatan Kerjasama Multilateral dan Projek Khas, Kementerian Pembangunan Ekonomi Rusia, Nikita Kondratev berkata perkara itu sedang dipertimbangkan oleh pejabat presiden dan tiada keputusan dibuat setakat ini.

"Saya tidak dapat menjawab secara langsung mengenai soalan ini sekarang. Saya berpandangan apabila sudah ada keputusan mengenainya, pihak berkuasa rasmi akan memaklumkan kepada anda mengenai ketua delegasi," katanya ketika ditemui pemberita selepas Rundingan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dengan Rusia kali ke-14 di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengundang Putin untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur yang merupakan sebahagian daripada mesyuarat peringkat tinggi Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini.

Anwar berkata Putin sedang mempertimbangkan dengan serius untuk datang ke Malaysia ketika kedua-dua pemimpin itu bertemu di perarakan Hari Kemenangan bagi memperingati 80 tahun berakhirnya Perang Dunia kedua, di Beijing awal bulan ini.

Perdana Menteri mengesahkan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri China Li Qiang akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN.

-- BERNAMA





#kehadiran Presiden Rusia #Vladimir Putin #Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 #belum disahkan