KUALA LUMPUR: Rusia mengulangi komitmennya untuk memupuk hubungan yang berpanjangan dengan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), menjadikannya satu keutamaan utama dalam Konsep Dasar Luar Negaranya yang telah dikemas kini.

Timbalan Menteri Luar Rusia Andrey Rudenko yang senada dalam sentimen kepentingan kerjasama itu berkata peranan utama dialog Rusia-ASEAN sama juga mustahak dalam memupuk keselamatan dan kestabilan di rantau Asia Pasifik.

Rudenko yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Malaysia dari 28 hingga 30 Mac ini berkata sepertimana ditetapkan dalam dasar itu, hubungan dengan ASEAN kekal sebagai satu daripada keutamaan Rusia.

"Rusia berpandangan untuk kerjasama yang efektif dan praktikal di atas platform berpaksikan ASEAN, perlu berdasarkan prinsip kesamaan dan persetujuan bersama, dengan setiap suara diambil kira.

Kami berkongsi komitmen ASEAN kepada prinsip interaksi sama rata dan keharmonian bersama semua ahli dalam komuniti antarabangsa," kata Rudenko dalam Siri Syarahan Tokoh (EPLS) anjuran Institut Asia-Eropah Universiti Malaya (AEI) yang berlangsung di sini.

Beliau juga berkata keutamaan utama ASEAN ialah untuk mengekalkan statusnya sebagai tulang belakang kepada "seni bina'' serantau yang terangkum, seimbang dan telus.

"Amat penting bagi ASEAN, biarpun berhadapan tekanan luar yang meningkat untuk menjauhi daripada konfrontasi blok dan untuk mengekalkan statusnya sebagai tulang belakang kepada "seni bina'' serantau yang terangkum, seimbang dan telus,"katanya.

Mengenai keterjaminan makanan serantau, beliau berkata Rusia telah menyatakan minatnya untuk berkonsi kepakaran dan potensi sumber semula jadinya yang unik dengan rakan kongsi dari Asia Tenggara.

"Negara kami ialah satu pembekal produk pertanian dan baja yang bertanggungjawab dengan sejumlah besar daripadanya dihantar ke Asia.

Terutamanya dalam hal ini, kami akan memikirkan mengambil langkah tambahan dalam bidang ini bersama rakan ASEAN kami dalam kerangka Mesyuarat Tahunan Pegawai Kanan ASEAN-Rusia mengenai Pertanian,"katanya.

Sementara itu, dalam isu ekonomi, Rudenko menekankan kepentingan meluaskan perdagangan dan hubungan ekonomi dengan negara-negara ASEAN biarpun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19 dan sekatan Barat.

"Perkara yang menjadi perhatian kami ialah meluaskan hubungan perdagangan dan ekonomi dengan negara-negara ASEAN.

Rusia adalah rakan yang menarik dan boleh dipercayai. Ia merupakan kriteria yang kukuh beserta fakta untuk membuktikannya. Kami telah memasuki 2024 dengan sistem kewangan yang stabil, kadar pengangguran yang rendah dalam sejarah dan defisit belanjawan yang minimum," katanya.

Rudenko mengetengahkan usaha berterusan oleh kedua-dua agensi ekonomi dari Rusia dan ASEAN untuk menangani cabaran dan memperbetulkan keadaan semasa akibat sekatan Barat ke atas Rusia dengan tumpuan kepada penggunaan mata wang kebangsaan dalam penyelesaian bersama dalam pembayaran yang menjadi satu topik yang kedua-dua pihak mempunyai kepentingan bersama.

Rusia dan ASEAN mempunyai hubungan sejak 1991 apabila Rusia menjadi Rakan Dialog dan dalam 1996 ia menjadi rakan kongsi sepenuhnya.

-- BERNAMA